Berita

UMNO Seru Rapatkan Saf, Junjung Titah YDP Agung

UMNO Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan dan Raja-raja Melayu atas kebijaksanaan dan kearifan Baginda-baginda Tuanku dalam mendepani kemelut politik negara.

Sejajar dengan titah dan harapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, serta selaras dengan hasrat UMNO yang mengajak kepada gencatan politik, saya berharap seluruh kepimpinan parti politik merapatkan saf di semua peringkat dan seterusnya memberi tumpuan untuk sama-sama menangani penularan pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang langkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak.

Justeru, sewajarnya dimulakan satu inisiatif rekonsiliasi nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.

Rakyat perlu menjadi keutamaan ketika ini. Usaha bersungguh-sungguh hendaklah dijelmakan dalam mencari keseimbangan antara mengurus wabak Covid-19 dan kehidupan ekonomi rakyat. Saya menyeru agar kepimpinan politik perlulah benar-benar ikhlas dalam menjayakan cita-cita ini.

Saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan berdoa semoga Allah S.W.T terus mengurniakan kesihatan serta afiat buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan.

DAULAT TUANKU!

AHMAD ZAHID HAMIDI
25 Oktober 2020