UMNO Junjung Kasih Titah Tuanku, Saran Rekonsiliasi Nasional… Tetap Tolak PKR, Dap

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi, 26 Okt (Isnin) memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan beberapa perkara.

Perkara-perkara berikut ialah:

1. Menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan. Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.

2. Mendokong sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

3. Menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.

4. Mencadangkan supaya Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

5. Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus.

6. Memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan. – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN 26 OKT 2020

%d bloggers like this: