Syabas Anak Muda, Koperasi Putrajaya Nasional Untuk Majukan Diri – Ketua Kampung
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan rasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda di Putrajaya yang telah merealisasikan kewujudan Koperasi Putrajaya Nasional.
Katanya, gerakan koperasi di negara ini telah bermula begitu lama dan ada macam-macam koperasi yang menunjukkan adanya kemajuan dan daya saing yang begitu baik.
“Saya sebagai wakil rakyat Putrajaya mengalu-alukan penubuhan koperasi ini dan berharap ia akan dapat mencapai matlamatnya serta memberi kemajuan kepada anak-anak muda khususnya golongan belia Putrajaya untuk berkembang lebih jauh dalam perniagaan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena pelancaran Koperasi Putrajaya Nasional yang dibuat secara maya lantaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berlangsung sekarang ini.
Jelas Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ dikalangan penduduk tempatan, pencapaian koperasi di negara ini menyumbang sekitar dua peratus dari KDNK negara iaitu lebih kurang RM55 bilion.
“Ini menunjukkan gerakan koperasi di negara ini kian bertambah baik maka saya ucapkan syabas kepada Koperasi Putrajaya Nasional yang telah bersama-sama golongan belia dan anak-anak muda di Putrajaya ini.
“Saya telah difahamkan bahawa ahli-ahli koperasi ini akan mengambil belia-belia Putrajaya dari usia 15 hingga 40 tahun yang ini akan memberi peluang kepada belia-belia kita untuk bersama-sama berkecimpung dalam arena koperasi bersama-sama.”
Selaras itu, beliau juga berharap agar Koperasi Putrajaya Nasional dengan Pengerusi Penaja Dr Iqbal Munawwir bersama barisan jawatankuasa yang dipilih akan dapat melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, telus dan bertanggungjawab.
“Melalui koperasi ini anak muda cuba untuk berdikari agar kita dapat tunjukkan bahawa kita dapat capai matlamat-matlamat tentang garis panduan berkaitan perniagaan yang akan dilaksanakan.
“Saya berharap saudara saudari sekalian akan maju untuk membantu khususnya anak-anak muda Putrajaya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya