Aktiviti & KomunitiBerita

Sumbangan Kelengkapan Surau: Terima Kasih Ketua Kampung… Keprihatinan Melangkau Keperluan Peribadi

PUTRAJAYA – Keprihatinan Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam memastikan keselesaan penduduk setempat bukan hanya melibatkan keperluan asas bersifat peribadi sebaliknya turut merangkumi hal-hal kepentingan dalam masyarakat untuk kegunaan bersama.

Lantaran itu, Surau Al-Furqan di Presint 11 di sini telah menerima sumbangan melibatkan barangan kelengkapan sistem audio dan peralatan teknikal di samping pendingin hawa yang bakal memberi manfaat kepada qariah di kawasan terbabit.


Menurut Ketua UMNO Cawangan Bunga Melati, Nik Yusmadi, sumbangan oleh Datuk Seri Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya amat dihargai dan memberi makna yang cukup besar kepada rakyat tempatan.

“Saya mewakili kariah Surau Al-Furqan mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan Datuk Seri Tengku Adnan kepada pihak surau. Tidak lupa juga kepada semua pihak yang telah memudahkan bantuan ini sampai kepada kami,” katanya.

Beliau yakin dengan adanya peralatan tersebut warga setempat akan dapat memanfaatkannya bukan sahaja dalam mempertingkatkan ibadah malah juga untuk memperkukuh ukhwah dalam masyarakat.

“Sumbangan yang diberikan akan dapat dimanfaatkan ahli qariah di Presint 11 ini serta Allah menilai usaha kebajikan dan sumbangan ini sebagai amal ibadah.

“Kami doakan semua yang terlibat sentiasa diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan senantiasa dalam lindungan rahmat Allah SWT,” katanya.

Terangnya, sebagai warga Putrajaya beliau memahami hasrat ‘Ketua Kampung’ yang sentiasa ingin mengimarahkan surau-surau di Putrajaya termasuklah Surau Al-Furqan yang turut menjadi surau Jumaat warga setempat.

“Kami amat menghargai usaha Datuk Seri Tengku Adnan yang prihatin terhadap masyarakat setempat sebagaimana sekarang ini terkesan dengan COVID-19, maka persediaan lengkap di surau ini dibuat agar apa-apa majlis atau acara keraian ringkas dapat dilaksana di surau ini tanpa melibatkan kos tambahan untuk penyediaan peralatan audio dan lain-lain keperluan.

“Dalam hal-hal tertentu, acara ringkas di surau ini masih boleh berlangsung misalnya pernikahan yang membabitkan jumlah keluarga yang kecil, maka dengan kelengkapan yang ada di surau ini tentunya sebarang kos tambahan tidak diperlukan yang secara tidak langsung dapat membantu masyarakat di sini daripada mengeluarkan apa-apa perbelanjaan untuk peralatan terbabit.”

Jelasnya, untuk masa hadapan juga, peralatan yang disumbangkan ini memberi erti cukup besar kerana ia akan dapat digunakan secara langsung untuk apa-apa acara dengan kelengkapan yang tersedia akan memberi kemudahan serta keselesaan kepada semua.

“Selain sebagai ruang untuk bersolat berjemaah, surau ini juga memainkan peranan mustahak sebagai tempat bagi masyarakat Islam berkumpul dan menganjurkan aktiviti yang menjurus kepada aspek keagamaan.

“Sebagai umat Islam, kami faham fungsi sebenar surau juga sebagai tempat untuk menimba ilmu agama dan berupaya menjadi tempat bagi mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya