BAJET 2021: Teks Ucapan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi
Demi menjunjung titah nasihat KDYMM Yang diPertuan Agong, saya turut melontarkan pandangan terhadap Bajet 2021 dengan hasrat untuk mencadangkan penambahbaikkan dan saranan-saranan untuk turut melibatkan kumpulan-kumpulan yang tidak mendapat faedah terus melalui Bajet 2021.
Sebelum itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Menteri Kewangan yang pada hemat saya telah membentangkan suatu belanjawan yang baik. Biarpun beliau bukan orang politik, namun sebagai ahli professional dalam bidang perbankan dan korporat, beliau dengan segera memahami keperluan politik dan kesengsaraan rakyat.
Sebagai insan biasa, bukan ma’asum, jauh dari kesempurnaan – tentunya terdapat beberapa kekurangan dalam Bajet 2021 di mana tentunya semua ahli-ahli di dewan yang mulia ini sedia memahaminya.
Namun YB Menteri Kewangan telah melakukan ‘engagement’ (dengan izin) bersama Ahli-ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang.
Sikap yang terpuji ini harus diakui oleh kita semua – ini merupakan suatu keterbukaan yang amat kita alu-alukan – malah beberapa ‘adjustment’ (dengan izin), saya yakin akan terus dilakukan demi untuk melihat ekonomi negara akan keluar dari perangkap kepayahan yang luar biasa sekarang.
Bajet 2021 merupakan bajet pertama selepas kejatuhan kerajaan lalu. Bajet ini merupakan penghujung kepada RMK 11 – selepas ini negara akan dihidangkan pula dengan RMK 12. Tentunya selepas ini suatu rancangan ekonomi jangka sederhana untuk tempoh lima tahun mendatang akan turut diperbahaskan di dewan yang mulia ini.
Menelusuri keluarbiasaan yang akan kita hadapi, saya pernah menyarankan ‘Political Ceasefire’ (Gencatan Politik) dan ‘National Reconciliation’ untuk negara terus mara ke hadapan bagi memulihkan sebarang kerapuhan ekonomi dan politik demi memberi keutamaan kepada rakyat.
Saya tentunya turut menghargai YAB Perdana Menteri yang menerima titah KDYMM Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-raja tanpa tindakan melaksanakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak boleh menyembunyikan rasa kesal, sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan perkara itu dalam menghadapi situasi politik, ekonomi dan pandemik.
Kalau jernih air di Hulu,
Jernihlah juga air di Kuala,
Kalau sungguh ingin maju,
Elak sengketa dan terus mara.
Saranan
1. Bajet 2021 diharapkan oleh semua golongan rakyat untuk turut memperkirakan ‘Post Covid-19 Economic Recovery Plan’. Malah kerajaan wajib melakukan rancangan pemulihan ekonomi kerana rakyat mahu merasai bahawa mereka bukan sekadar diberikan ikan tetapi rakyat mesti turut diberikan kail.
2. Kail inilah yang diharapkan oleh Kumpulan B40 atau M40 tanpa melupakan kumpulan T20 yang turut menyumbang sebagai salah satu pemangkin ekonomi negara. Kumpulan M40 turut ramai terkesan, mungkin sebahagian dari mereka kini berada dalam Kumpulan B40.
3. Malah Kumpulan Industri PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang merupakan 38.9% penyumbang KDNK amat-amat terkesan dan kumpulan ini wajib diberi keprihatinan khusus.
4. Kumpulan yang hilang pekerjaan yang jumlah bertambah setiap hari, malah jumlah pengangguran ketara dan tidak ketara – hendaklah jangan dikesampingkan.
5. Rakyat sengsara kerana ramai – mengalami ‘no food on the table’ dan ‘no money in the pocket’ malah turut kehilangan tempat berteduh.
Cadangan
Lantas dari itu, lihatlah semua kumpulan agar tidak ada kumpulan rakyat yang terpinggir dan berkecil hati. Ini termasuklah:
1. Kumpulan Professional dan teknikal yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa beralih ke bidang yang luar bidang profession dan kemahiran mereka demi kelangsungan hidup berkeluarga.
2. Lihatlah juga doktor-doktor persendirian yang terpaksa klinik-klinik persendirian mereka ditutup. Kumpulan GP Doctors (General Practitioners) ini wajib dibantu dengan mewujudkan skim rangsangan ekonomi yang dapat membantu mereka. Mereka kekurangan dan kehilangan pesakit.
3. Bagaimana pula dengan pengusaha-pengusaha Bas Persiaran, Bas Sekolah, Bas Ekspress dan Bas Kilang yang rata-rata turut terjejas dan menerima tekanan untuk terus melakukan pembayaran bulanan dari syarikat kredit dan leasing, syarikat-syarikat sewa beli yang tidak tertakluk kepada memberi moratorium. Lebih-lebih lagi syarikat-syarikat pinjaman berlesen turut menekan termasuk peminjam-peminjam kenderaan sewa beli. Syarikat ini tidak tertaklu kepada FSA (Financial Services Act) di bawah Bank Negara. Saya menyokong disegerakan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna. Saya amat bersimpati dengan pengusaha Bas Sekolah yang kini tanpa murid dan pelajar ke sekolah. Pengusaha Bas Persiaran yang selama ini menjadi penyumbang dalam Industri Pelancongan. Mereka turut sengsara akibat kemuraman sektor pelancongan – terus membayar sewa beli bulanan di samping tekanan syarikat insurans yang mengenakan premium insurans yang tinggi.
4. Bagaimana pula dengan moratorium kepada penyewa-penyewa premis perniagaan di bawah GLC dan Badan-badan Kerajaan.
5. Begitu juga Rumah PPR – Rumah Murah – Rumah Mampu Milik yang tidak diberikan moratorium. Mereka merupakan rakyat marhaen yang perlu diberi pembelaan oleh kerajaan.
6. Bagaimana pula penyewa-penyewa premis perniagaan? Malah GLC yang akan menyewakan premis perniagaan tidak memberi moratorium kepada penyewa-penyewa berkenaan.
7. Sila ambil kepedulian terhadap:
Peminjam kenderaan persendirian – kereta terpakai (2nd hand cars) – tanpa moratorium.
Yuran pelajar-pelajar Universiti wajib dikurangkan – sejumlah 1.1 juta pelajar-pelajar IPTA dan IPTS terjejas.
Belia-belia dan lepasan sekolah yang merupakan penganggur tidak ketara mesti turut diberi kepedulian.
8. Saya merayu agar Institusi Kewangan, Syarikat-syarikat kewangan berlesen agar bersimpati dengan peminjam-peminjam yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan. Yang berlaku ‘delayed earning and reduce the profit’.
Penutup
9. Akhirnya:
Dalam politik harus ada kejujuran.
– Baik sebagai rakan kongsi – atau atas nama dokongan.
– secara piagam atau perjanjian persefahaman.
– secara bertulis atau secara konvensyen.
– secara tersurat dan tersirat.
Penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya.
Tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan.
Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan – apabila kejujuran politik diberikan keutamaan – jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait.
Jadikan seperti air dalam pembentung – biarpun airnya berkocak – namun airnya tidak tumpah keluar – jika penutupnya adalah kejujuran.
Kita ambil ibrah – agar Perjanjian Tahkim – antara Muawiyah dan Abu Musa As-Shaari – tidak berlaku antara rakan-rakan kongsi politik.
Kejatuhan empayar-empayar terdahulu – apabila pemimpin-pemimpinnya yang merasakan dirinya popular – melupakan soal-soal pokok dan mengutama isu-isu furuq – cabang.
Ikhlas dan jujurlah – rakyat yang mengharap sesuatu yang terbaik untuk mereka – mesti diberi keutamaan.
Dewan yang mulia ini merupakan pentas terbaik untuk negara ini berada dalam situasi politik yang stabil
Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya – ianya hendak diuji di dewan yang mulia ini.
Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat – sesuatu mesti dipersesuaikan – dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.
Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai – urusan kerajaan diutamakan – menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini.
Proklamasi darurat adalah bukan pilihan – malah KDYMM Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-raja telahpun menolak.
Apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat dalam apa bentuk sekalipun.
Jika ini tidak dapat dilakukan – ianya hendaklah dikembalikan kepada rakyat – sesegera yang mungkin.
Suara rakyat – suara keramat – dari rakyat kita diberi mandat – kepada rakyat juga kita serahkan mandat.
Yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T…semua kelemahan datang daripada saya.
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Pengerusi Barisan Nasional (BN) / Presiden UMNO
Ahli Parlimen Bagan Datuk
You must be logged in to post a comment.