Isu Semasa

Sudah-sudahlah Teori Cetak Wang Kertas… Baik Perjuangkan Suara Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Semalam, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan cadangannya bagi membantu rakyat dengan cara ‘pengampunan hutang’ dan mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada orang untuk dibelanjakan yang menganggap pengkritiknya ‘salah faham’ dan membuat andaian palsu.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Wan Ahmad Fayhsal yang dianggap masih menegakkan teori yang tiada manfaat jelas kepada rakyat.

“Sudah-sudahlah menegakkan teori mencetak wang kertas yang ternyata tiada manfaat jelas kepada rakyat. Marilah bersama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, kita berjuang menyuarakan suara rakyat yang susah dan gelisah mengharapkan pengeluaran wang simpanan mereka di Akaun 1 KWSP tanpa syarat-syarat ketat yang menyukarkan dan lanjutan moratorium secara automatik,” katanya dalam hantaran pendek menerusi laman facebooknya berkaitan hal ini.

Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan idea ‘cetak wang kertas’ oleh Bank Negara Malaysia untuk menambahkan duit poket secara pukal kepada rakyat telah menimbulkan sedikit ‘kegemparan’ kepada umum selain telah mengutarakan idea untuk membuat penghapusan hutang (debt jubilee) kepada golongan M40 dan B40.

Idea-idea terbabit telah mengundang pelbagai kritikan sementara Pemuda UMNO konsisten menyuarakan kehendak rakyat sebagaimana cadangan Barisan Nasional (BN) untuk menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium. – UMNO Online