Bukan Saja UMNO, Tapi Semua Parti Perlu Sedar Diri

Tan Sri Annuar Musa kata UMNO kena sedar diri. Saya setuju. Bukan saja UMNO, tapi semua parti perlu sedar diri.

UMNO perlu sedar diri bahawa tanpa PAS, mereka sukar untuk menang semula. PAS perlu sedar diri bahawa tanpa UMNO, mungkin Kedah pun akan terlepas dari tangan mereka. PPBM perlu sedar diri bahawa tanpa PAS dan UMNO, mereka akan pupus selama-lamanya.

Tapi apa sebenarnya yang perlu dilakukan UMNO supaya semua orang berpuas hati bahawa mereka sedar diri?

Mereka parti paling besar, tetapi dalam ikatan Muafakat Nasional mereka letakkan diri mereka setaraf dengan PAS sahaja.

Mereka ada akar umbi paling ramai, tetapi mereka tidak pernah tuntut PAS sokong calon mereka sebagai Perdana Menteri seterusnya. Sekurang2nya belum lagi.

Mereka dapat 20.9% undi popular pada 2018 – peratusan paling besar bagi parti persendirian walaupun ketika itu mereka dalam keadaan paling lemah. Tetapi tidak pula mereka tuntut kerusi parti rakan untuk mereka tandingi.

Mereka menang 54 kerusi pada 2018 – menjadikan mereka parti paling besar dalam parlimen. Tetapi mereka juga yang angkat TS Muhyiddin ke posisi eksekutif tertinggi.

Mereka hilang 17 ahli parlimen yang melompat parti. Tetapi tidak pula mereka letak syarat bahawa ahli-ahli parlimen ini perlu kembalikan kerusi sebelum mereka sokong TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Malah terdapat cadangan bahawa mereka sudi bagi peluang agar PAS dapat bertanding di majoriti kerusi milik PAN. Walaupun 8 daripada 10 kerusi tersebut, undi kepada BN lebih tinggi daripada PAS

Kalau sekadar ada tuntutan agar parti mereka dilibatkan dengan lebih aktif dalam polisi keselamatan dan kewangan negara, maka itu munasabah. Kalau buruk kerajaan ini, maka buruklah imej mereka.

Dalam Majlis Ekonomi Negara, mana ada wakil UMNO atau PAS? Tetapi apabila ekonomi merudum, rakyat akan menuding jari kepada mereka berdua.

Dalam Majlis Keselamatan Negara, cuma ada seorang wakil UMNO. 4 lagi daripada Bunga Raya. Tetapi apabila MKN tidak melaksanakan kuarantin wajib selepas PRN Sabah walaupun Menteri Kesihatan telah mencadangkannya, yang menjadi kambing hitam adalah UMNO juga.

Sama juga dengan PAS. Jika gagal memperkasa undang-undang syariah, gagal menyelesaikan isu Tabung Haji, maka yang buruk di mata rakyat adalah PAS juga.

Walhal PAS cuma Timbalan Menteri. Dan Timbalan Menteri tiada kuasa untuk mengambil alih atau melangkau kuasa Menteri.

Sebab itu ketika TSMY sakit dahulu, yang memangku tugasnya bukan Azis Jamman tetapi Tun Mahathir sendiri.

Tapi setakat mana rakyat akan faham kekangan dan limitasi dua parti ini?

Ya, semua kena sedar diri. Tapi sampai ke tahap mana kita mahu UMNO (atau mungkin PAS juga) sedar diri?

Adakah sampai mereka semua berbogel pakai spender tengah jalan kibar bendera bunga raya baru kita semua puas hati?

—-

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: