Aktiviti & Komuniti

Puteri UMNO Putrajaya Realitikan Keprihatinan, Sokong Program Derma Darah

PUTRJAYA – Sokongan dalam merealitikan keprihatinan terhadap orang ramai bukan hanya diterjemah melalui kerja-kerja kemasyarakatan atau turun padang dengan memberikan bantuan fizikal semata-mata tetapi ia juga dilaksana melalui sokongan dalam program derma darah.

Hal tersebut telah dibuktikan oleh golongan muda Putrajaya sebagaimana Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Jumaitul Laily Zakiah Ismail bersama barisan anggota Kelab Anggun Putrajaya.

Melalui Program Derma Darah Wilayah Prihatin Covid-19 Bersama Pusat Darah Negara yang di adakan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, semalam, kumpulan terbabit melahirkan rasa sukacita kerana dapat bersama-sama menyokong usaha untuk rakyat.

“Alhamdulillah, kami sangat gembira kerana dapat turut serta dalam menyokong program ini.

“Kami akan sentiasa memberikan kerjasama dan berbesar hati kerana terlibat dalam program sedemikian. Terbukti bahawa membantu bukan hanya dapat dilakukan dengan menghulurkan wang ringgit atau barangan sahaja tetapi titisan darah juga amat berharga kerana mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.


Ujarnya, Puteri UMNO Putrajaya dan juga Kelab Anggun Putrajaya sentiasa sepakat dalam usaha-usaha untuk membantu orang ramai melalui pelbagai cara khususnya dalam keperitan melawan pandemik COVID-19.

Jelasnya, program derma darah tersebut juga akan dilaksanakan di sekitar Putrajaya dalam membantu Pusat Darah Negara untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti ibu mengandung, orang yang mengalami kemalangan dan mereka yang memerlukan.

“Kami sedar bahawa satu beg darah yang didermakan boleh menyelamatkan tiga nyawa, maka sebab itulah program ini perlu diteruskan secara menyeluruh agar semua lapisan masyarakat dapat dilibatkan.

“Insya-Allah, kami sedang menyusun perancangan dengan melaksanakan kerjasama bagi bergerak melalui kementerian dan jabatan untuk membantu Pusat Darah Negara mendapatkan lebih banyak bekalan darah,” katanya lagi yang yakin bahawa program ini akan mendapat sambutan.

Maklumnya, bagi memudahkan usaha mendapatkan bekalan darah, lokasi Pusat Darah Negara sekarang ini beroperai di Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10.

Dalam masa yang sama, sebagai pemimpin muda Jumaitul Laily Zakiah turut berharap agar semua anggota masyarakat akan kekal dalam kawalan kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Kita mesti menang dan kita sama-sama bertanggungjawab untuk kembalikan Putrajaya sebagai zon Hijau, bebas dari wabak Covid, insya-Allah, kita boleh,” yakin beliau lagi. – UMNOPutrajaya