Berita

Belanjawan 2021 Lulus Peringkat Dasar Dengan Suara Majoriti

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan seramai 82 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Belanjawan 2021 itu memperuntukkan RM236.5 bilion (73.3 peratus) untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion atau 21.4 peratus perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion (5.3 peratus) kepada Kumpulan Wang COVID-19.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu akan dibahas pada peringkat jawatankuasa selama 11 hari mulai Isnin (30 Nov).

Tengku Zafrul ketika sesi penggulungan peringkat dasar rang undang-undang itu antara lain menarik perhatian ahli Parlimen bahawa akan ada usul pindaan pada peringkat jawatankuasa kelak.

Menjawab soalan mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau mengumumkan bahawa Program i-Sinar yang membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP itu, kini dibuka kepada semua lapan juta pencarum dengan jumlah pengeluaran maksimum dinaikkan kepada RM10,000.

Selain itu, menteri kewangan tersebut berkata kerajaan juga bersetuju memanjangkan bantuan sekali beri (one-off) RM300 kepada semua petugas barisan hadapan lain termasuk polis dan tentera. Semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan bantuan khas sekali beri RM500 kepada petugas barisan hadapan kesihatan.

Katanya kerajaan juga meluluskan dana tambahan sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri Sabah bagi memerangi COVID-19 yang akan disalurkan pada Disember ini menggunakan Kumpulan Wang COVID-19.

Selain itu, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pemberian bantuan daripada RM50 kepada RM100 seorang di bawah program eBelia dan memanjangkan inisiatif eBelia kepada 1.1 juta mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.

Sesi penggulungan lebih sejam itu tidak terlepas daripada celahan dan pertikaman lidah ahli-ahli Parlimen yang memohon penjelasan lanjut daripada Tengku Zafrul.

Antara mereka ialah Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang bangun mencelah, mendakwa kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa belanjawan berkenaan dirangka melibatkan semua pihak sebagai “palsu”.

“Ini satu pemalsuan fakta, kita (ahli Parlimen pembangkang) hanya dilibatkan sekali dalam perbincangan sebelum bajet ini dibentang… Menteri dengan bangga berkata bajet ini melibatkan semua pihak, merangka bersama satu bajet untuk selesaikan masalah ekonomi negara, tapi ini satu pembohongan,” katanya.

Celahannya itu bagaimanapun ditentang penyokong kerajaan yang menyatakan bahawa ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, tidak sekalipun pihak pembangkang dipanggil untuk terlibat sama dalam proses merangka belanjawan.

Terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Bebas-Jerlun) memohon penjelasan berhubung jumlah peruntukan yang terlibat selepas beberapa perubahan diumumkan Tengku Zafrul.

“Nampak gayanya ada tambahan kepada jumlah Belanjawan 2021, adakah ini bermaksud tambahan di satu tempat itu bermakna ada pengurangan tempat-tempat lain? Kalau ada pengurangan, di mana akan dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) menyindir pembangkang, menyamakan sesi penggulungan itu seperti permainan bola sepak yang berpihak kepada kerajaan dengan rakyat sebagai penonton.

“Kalau dalam perlawanan bola sepak dah 7-0 hari ini, demi kelangsungan kebajikan rakyat yang tercinta apatah lagi menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menasihati kita untuk sokong (Belanjawan 2021). Jadi mana-mana pihak tak sokong, biarlah rakyat menjadi hakim,” katanya. – BERNAMA