Undi Percaya Hanya Jawatan MB, Kerajaan PN Perak Mesti Dikekalkan – UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Dis – UMNO berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak mesti dikekalkan kerana undi percaya yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya melibatkan jawatan Menteri Besar.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata undi percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini tidak mengubah status kerajaan negeri.

“UMNO juga berpendirian bahawa BERSATU dan PAS harus bersama menyokong kerajaan PN Perak,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN apabila hanya menerima 10 undi menyokong manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

Usul itu dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Abd Manap Hashim.

Berikutan itu, Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden BERSATU, menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah petang ini bagi menyembah maklum situasi semasa politik negeri itu kepada baginda.

Selepas menghadap Sultan Perak, Ahmad Faizal memaklumkan beliau ketika ini masih menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga lantikan baharu dibuat,

DUN Perak merangkumi 25 ADUN (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, 16 (DAP), BERSATU (lima), Amanah (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), Gerakan dan Bebas masing-masing satu. – BERNAMA

%d bloggers like this: