Isu Semasa

Kerajaan PN Perak – UMNO, PAS, PPBM Perlu Terus Dipertahankan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – UMNO berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang melibatkan ADUN UMNO, PAS dan PPBM perlu terus dipertahankan.

Demikian maklum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, hari ini.

Katanya, mesyuarat MKT juga telah membincangkan tentang senario politik Negeri Perak.

“Mesyuarat memutuskan agar Kerajaan Perikatan Nasional Perak yang melibatkan ADUN UMNO, PAS dan PPBM perlu terus dipertahankan,” ujarnya.

Kemelut politik negeri ini bermula selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan ADUN terhadap menteri besar yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lepas.

Dalam undian sulit yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.