Berita

BN, PAS, Bersatu Capai Kata Sepakat Saarani MB Perak Baharu

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Atas semangat permuafakatan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu bersetuju untuk mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Demikian kenyataan bersama antara Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Hamzah Zainuddin mengenai pembentukan kerajaan negeri itu hari ini.

“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu lagi yang disiarkan di Twitter Annuar.

“Alhamdulillah… permuafakatan terus diperkasa,” ciap Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Manakala Takiyuddin di Twitternya juga mengucapkan kesyukuran demi rakyat muafakat dimeterai.

“Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma. Tahniah Kerajaan PN Perak dikekalkan…. UMNO+PAS+Bersatu=#kitabertiga,” twitnya.

Dalam kenyataan bersama itu juga memaklumkan bahawa ketiga-tiga Presiden parti telah mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak yang turut disertai ketiga-tiga Setiausaha Agungnya pada hari ini.

Tambah kenyataan itu, dalam perbincangan itu juga Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perak atas kekhilafan yang berlaku. – UMNO ONLINE