Berita

Apa Motif Pembangkang Mahu Tolak Belanjawan 2021? – Annuar

KUALA LUMPUR – Apa motif sebenar pembangkang mahu menolak Belanjawan 2021?

Itu persoalan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, tidak pernah belanjawan dibahas dan diundi seperti kali ini yang kelihatannya melalui laluan yang sukar.

“Semua MP (ahli Parlimen) telah berhari-hari berbahas dan berpuluh kali mengundi di Dewan Rakyat. Tidak pernah belanjawan dibahas dan diundi sebegini.

“Setelah belanjawan sudah berkali-kali diluluskan masih lagi pembangkang nak gagalkan bajet. Mereka berjuang untuk rakyat atau siapa sebenarnya?” soalnya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Annuar juga menyifatkan pembangkang sebenarnya hanya menggunakan Belanjawan 2021 sebagai langkah untuk menggulingkan kerajaan.

“Rakyat benar benar dapat menyaksikan sandiwara pembangkang, sengaja mencari cari alasan untuk tolak bajet (Belanjawan 2021). Bukan kerana bajet tak baik tapi mencari alasan untuk jatuhkan kerajaan.

“Sudah lebih 20 kali mengundi, mereka gagal. Sekarang mereka nak sabotaj Bajet Rakyat di bacaan ke-3 hari ni,” tambahnya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menerusi sidang media bersama menjangkakan Belanjawan 2021 yang dijangka bakal dibaca kali ketiga di peringkat jawatankuasa hari ini akan ditolak oleh Ahli Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan juga semalam telah menegaskan bahawa untuk melakukan undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga kerana berpendirian bahawa Belanjawan 2021 tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan kalangan Ahli Parlimen malah harapan rakyat juga. – MalaysiaGazette