Berita

Patuhi SOP Norma Baharu, Putrajaya Aplikasi Kenduri Pandu Lalu

PUTRAJAYA – Keselamatan dan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan khususnya dalam keadaan negara berdepan penularan pandemik COVID-19.

Memahami situasi semasa, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengaplikasi majlis kenduri pandu lalu yang julung kali dilaksana sebagai berkongsi kegembiraan dan kesyukuran meraikan majlis pernikahan anakanda beliau bersama warga Putrajaya hari ini.

Acara pernikahan Tengku Muhammed Hafiz dan pasangannya Oceane Alagia telah berlangsung pada pukul 10.30 pagi di Dataran Putrajaya, Presint 3 dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai.

Kemudiannya, Tengku Adnan dan pasangan pengantin serta keluarga telah bersama-sama menggamit kehadiran warga Putrajaya yang berkereta melalui pekarangan kawasan terbabit.

Inilah pertama kalinya majlis kenduri pandu lalu yang sapaan hanya dibuat dari dalam kereta sementara Tengku Adnan yang sentiasa ceria melayani kehadiran mereka tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

Majlis kenduri pandu lalu ini dilaksana sebagai usaha mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan memastikan warga Putrajaya kekal sihat serta dapat memutuskan penularan COVID-19.

Sehubungan itu, Tengku Adnan dan keluarga amat berharap agar para tetamu dapat memahami situasi yang berlaku dan amat menghargai sokongan dari semua pihak. – UMNOPutrajaya