Aktiviti & Komuniti

Alhamdulillah, Terima Kasih Warga Putrajaya Raikan Kenduri Rakyat – Ketua Kampung

PUTRAJAYA – ‘Ketua kampung’ Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan keluarga menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada masyarakat tempatan yang telah memberikan sokongan dan bersama-sama hadir dalam majlis Kenduri Rakyat sempena pernikahan anakanda beliau, hari ini.

Katanya, biarpun acara dilaksana secara pandu lalu ekoran pematuhan kepada SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan COVID-19, namun kehadiran orang ramai membuat beliau amat berbesar hati.

“Alhamdulillah acara akad nikah anakanda saya Tengku Muhammed Hafiz dan Oceane Alagia telah berjalan lancar pagi tadi. Terima kasih pada warga Putrajaya yang meraikan acara ini dalam norma baharu.”

Acara pernikahan mempelai Tengku Muhammed Hafiz dan pasangannya Oceane Alagia telah diadakan pada pukul 10.30 pagi dengan kehadiran hanya ahli keluarga terdekat sahaja.

Kemudiannya, orang ramai mula membanjiri pekarangan Presint 3 dengan berkereta yang melalui hadapan Istana Kehakiman dengan disambut lambaian dari Tengku Adnan dan keluarga termasuklah pasangan mempelai.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menzahirkan rasa syukur kerana acara berlangsung lancar walaupun pertama kali dilaksana sedemikian.

“Alhamdulillah, saya dan keluarga amat berbesar hati. Terima kasih semua kerana memahami dan mematuhi semua prosedur yang dibuat dengan kehadiran secara pandu lalu sahaja tanpa perlu turun dari kenderaan. Saya dan keluarga amat bersyukur dan menghargai sokongan anda semua. Terima kasih,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya