Aktiviti & Komuniti

Kami Kenal Siapa Pemimpin Kami, Sentiasa Bersama Ku Nan – Warga Putrajaya

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menetapkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersalah atas pertuduhan menerima rasuah menjadi khabar duka buat warga Putrajaya.

Secara asasnya, rakyat memahami bahawa pertuduhan yang dibuat terhadap Ku Nan dilaksana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ku Nan adalah antara pemimpin yang kekal teguh dalam UMNO/BN biarpun ada sebilangannya ‘lompat parti’ lantaran pelbagai tekanan termasuklah pertuduhan dan pendakwaan di mahkamah.

Justeru, keputusan mahkamah semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Ku Nan menjadikan beliau pemimpin UMNO/BN kedua selepas mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta

Sememangnya, masyarakat Putrajaya amat mengenali wakil rakyat mereka yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ kerana Tengku Adnan selain dari bersifat prihatin juga terkenal sebagai seorang yang dermawan dan akan cuba menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

Sehubungan itu, Manzilu Rahmah menyatakan bahawa warga Putrajaya sentiasa menyokong Ku Nan iaitu pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Kami sentiasa bersama Ku Nan. Pemimpin berjiwa rakyat. Sentiasa membantu rakyat dalam apa jua keadaan.”

Hal ini diakui oleh Azman Mohd Isa yang menganggap warga Putrajaya amat kenal siapa Ku Nan.

“Kami warga Putrajaya kenal siapa pemimpin kami. Ku Nan yang terbaik, kami semua pernah dibantu. Ku Nan adalah yang terbaik untuk warga Putrajaya,” katanya.

Nada yang sama turut dinyatakan oleh Razali Talib yang mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan Ku Nan.

“Hanya Allah saja yang mampu membalas jasa baik Ku Nan. Beliau adalah pemimpin di Putrajaya. Semoga Allah permudahkan segala urusannya.”

Bagi Muhd Naszruddin pula, jasa-jasa Ku Nan terlalu banyak khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan perjuangan agama, bangsa dan tanah air (ABATA).

“Kami sayang Ku Nan. Beliau adalah ketua kampung yang terbaik dalam menjaga kebajikan rakyatnya dan ABATA. Semoga beliau sentiasa sihat dan dalam lindungan-Nya.

Begitu juga dengan pengakuan Husaini Idris yang menganggap bahawa Ku Nan sentiasa melakukan yang terbaik untuk warga Putrajaya.

“Ketua Kampung kami Ku Nan yang terbaik, jasanya tak dapat dibalas, hanya Allah sahaja dapat mebalasnya,” katanya. – UMNOPutrajaya