Berita

Hentikan Pendakwaan Politik Zalim, Kejar Isu Kepentingan Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan memuji tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuka kertas siasatan isu daging halal yang diragui.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO turut menggesa pihak berkuasa menghentikan pendakwaan politik yang zalim tetapi mendahului isu yang berkait dengan kepentingan rakyat.

“Seperti mungkin ada agensi yang terlibat rasuah hingga orang Islam makan kuda dan kangaroo tapi dilabel sebagai lembu halal.

“Jika ini benar memang gila betul,” bidasnya dalam satu ciapan di Twitter petang Selasa.

Sebagaimana yang dilaporkan pada awal bulan ini, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah menyerbu sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku di Senai, Johor Bahru kerana dipercayai menyeludup daging sejuk beku dan membuat label cap halal palsu sebelum mengedarkan daging-daging berkenaan ke seluruh negara.

Ekoran dari itu, SPRMJohor telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import tersebut. – UMNO ONLINE