Berita

Mesyuarat Perwakilan: Selamat Bersidang, Semoga Berjalan Lancar… UMNO Jurucakap Bangsa

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Akibat daripada penularan pandemik COVID-19, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi tahun ini telah ditangguhkan ke tarikh 1 hingga 3 Jan tahun hadapan.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 31 Jan manakala Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sehari sebelumnya, 30 Dis.

Mengambil kesempatan menjelangnya tahun baharu 2021 kurang dari 48 jam lagi, selain mengucapkan selamat tahun baharu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan di seluruh negara.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 dan Selamat Bersidang kepada semua perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh Malaysia.

“Bersama kita patuhi SOP (prosedur operasi standard) untuk mengelakkan penularan COVID-19,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook sambil meninggalkan tanda pagar #kitajagakita.

Begitu juga bagi Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut berharap ia berjalan lancar dan diberkati.

“Assalamualaikum. Selamat menjalankan Persidangan Tahunan kepada seluruh perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara.

“Semoga persidangan tahunan ini akan berjalan dengan lancar dan diberkati Allah SWT jua, Insya-Allah,” ujarnya dalam platform media sosial yang sama.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi taklimat kepada Setiausaha-setiausaha UMNO Negeri dan Bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini berhubung perjalanan mesyuarat.

Manakala bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengharapkan persidangan pada kali ini sebagai pentas merapatkan saf dan memperbaharui semangat perjuangan.

“Selamat Bersidang kepada semua perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian-bahagian seluruh Malaysia.

“Jadikan persidangan ini sebagai pentas untuk kita merapatkan saf dan memperbaharui semula semangat perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanah Air.”

Bagi seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persidangan ini akan menjadi medan terbaik untuk membawa parti kepada asasnya.

“Selamat Bersidang kepada UMNO Bahagian dan Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh negara.

“Persidangan memberi ruang terbaik untuk membawa parti UMNO tercinta ini kembali kepada asasnya, kembali menjadi jurucakap bangsa, kembali menjadi parti yang diyakini bangsa. Kembali menjadi pusaka hati bangsa,” ujarnya.

Begitu juga bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan yang berkata UMNO adalah parti keramat dan juara membela rakyat.

“UMNO parti keramat, UMNO juara membela rakyat.

“Selamat Bersidang diucapkan kepada semua para perwakilan dan pejuang parti seluruh negara. Pastikan terus jaga SOP dan amalan norma baharu usaha putuskan rantaian COVID-19 hari ini.

“Salam perjuangan. Hidup Rakyat! Hidup UMNO!” katanya sambil meninggalkan tanda pagar #UMNOSebuahPerjuangan. – UMNO ONLINE