Aktiviti & Komuniti

Teruskan Komited Dalam Perjuangan Perangi COVID-19, Ayuh Patuhi SOP – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Hari ini Kementerian Kesihatan melaporkan Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi positif COVID-19 apabila 3,337 kes dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini meningkat kepada 33,989 kes.

Dalam hal ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menzahirkan kebimbangan dan berharap setiap individu lebih berwaspada dengan mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rangkaian COVID-19.

Katanya, hari ini Putrajaya juga mengalami pertambahan angka kes yang tinggi iaitu 23 kes.

“Untuk semua komuniti Putrajaya, saya mengajak agar kita semua tingkatkan pematuhan SOP, jaga kebersihan dan keselamatan bagi memastikan masa hadapan masyarakat kita terjamin.

“Kita perlu gembling usaha bersama-sama dan komited dalam perjuangan kita untuk memerangi COVID-19. Kita perlu kekal mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan walaupun saya tahu ianya bukanlah sesuatu mudah tetapi tidak mustahil jika kita berganding bahu. Insya-Allah kita boleh memutuskan rangkaian COVID-19,” katanya.

Dilaporkan, Putrajaya ialah antara enam negeri bersama Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan. – UMNOPutrajaya