Berita

Warga Putrajaya Kibarkan Bendera Semarak Hari Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA – Kesedaran mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan menjelangnya Hari Wilayah pada 1 Februari depan sememangnya ada dalam diri rakyat tanpa mengira masa.

Hal ini direalitikan dengan hiasan bendera Wilayah Persekutuan di kawasan-kawasan perumahan dan sekitarnya dan semakin bertambah meriah menjelangnya tarikh 1 Februari.

Ini membuktikan, walaupun negara diisytihar darurat dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lantaran penularan wabak COVID-19, namun keadaan ini tidak mematahkan semangat patriotik warga Putrajaya untuk bersama-sama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan.

Kibaran bendera ini juga menunjukkan kebanggaan sebagai seorang warga Wilayah Persekutuan dan sebagai kebebasan serta kesejahteraan warganya.

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memulakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan membabitkan ketiga-tiga wilayah bermula pada Ahad lepas (17 Jan) secara serentak sehingga 28 Feb ini dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya.

Orang ramai digalakkan untuk sama-sama memasang dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di premis perniagaan, rumah dan kenderaan serta di platform media sosial masing-masing dengan menggunakan hashtag #WilayahPersekutuanWilayahPrihatin #kibarbenderaWP #SHWP2021 . – UMNOPutrajaya