Rencana

Hari Wilayah Persekutuan, PKP & Keperluan Rakyat

1 FEBRUARI adalah tarikh sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang tentunya amat bermakna bagi masyarakat di tiga Wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kerana pada tarikh inilah Gagasan Wilayah terbabit ditubuhkan
Pada tahun ini, Hari Wilayah Persekutuan bertemakan ‘Wilayah Prihatin’ yang sememangnya bertepatan dengan aspirasi untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

Dalam hal ini, warga Wilayah Persekutuan Putrajaya sendiri telah sebati dengan slogan ‘Putrajaya Prihatin’ yang diaplikasi oleh Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Semangat kebersamaan, kekitaan, saling mengambil berat atas persefahaman kasih sayang dalam sebuah keluarga besar Putrajaya telah lama diterapkan oleh pemimpin berjiwa rakyat yang menjadi teraju ‘Putrajaya Prihatin’ hinggakan Tengku Adnan lebih mesra disapa sebagai ‘ketua kampung’ malah ada yang memanggilnya ‘ayahanda’.


Pada tahun ini, sambutan Hari Wilayah Persekutuan amat berbeza kerana ianya berlangsung dalam suasana darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan malah duit poket juga turut tersekat.

Namun begitu, hal ini bukanlah alasan untuk warga Putrajaya atau masyarakat di Wilayah Persekutuan untuk tidak meraikannya sebaliknya, sambutan Hari Wilayah Persekutuan tetap dilaksana sebagaimana penzahiran rasa cinta dan kasih kepada ‘kampung’ sendiri.

Kibaran bendera Wilayah Persekutuan menghiasi Putrajaya, sama ada di premis-premis perniagaan atau kawasan perumahan yang kebanyakannya dipenuhi dengan lambaian warna merah, biru dan kuning.

Ternyata, pelaksanaan PKP tidak menenggelamkan semangat patriotik rakyat, malah rasa cinta terhadap Wilayah Persekutuan tetap disemarakkan walaupun dalam realitinya kebanyakan masyarakat setempat ketika ini bergelut dengan kesempitan hidup lantaran penularan COVID-19 yang masih meruncing.

Hari Wilayah Persekutuan tetap dirai, datangnya tetap dinanti malah dalam suasana hari ini, rakyat mengharapkan setiap hari-hari istimewa yang hadir adalah sinar yang akan menerangi kehidupan lantaran kemalapan ekonomi menjejaskan sumber kebanyakan warganya.


Kelangsungan hidup rakyat saban hari adalah satu keperluan yang menuntut perhatian dari orang atasan apatah lagi Wilayah Persekutuan khususnya Putrajaya yang ‘gah’ adalah antara bandar termoden dan terancang di negara ini.

Bagi warga Putrajaya sendiri, mendiami kota meropolitan adalah satu kebanggaan namun untuk menghadapi kemelut dalam keperitan yang disebut sebagai ‘miskin bandar’ bukanlah sesuatu yang mudah.

Dalam hal ini, ‘ketua kampung’ Putrajaya mengambil tanggungjawab memastikan setiap warganya terbela atau sekurang-kurangnya ‘dapur tetap berasap’ dengan menyalurkan bantuan terus makanan asas khususnya beras.

Sesungguhnya pemberian sumbangan berupa bantuan makanan kepada rakyat bukanlah sesuatu yang asing bagi warga Putrajaya namun sejak penularan COVID-19 awal tahun lalu, pelaksanaannya diberikan lebih menyeluruh.

Lebih dari itu, bantuan tersebut dilakukan oleh jentera-jentera parti khususnya Pemuda UMNO Putrajaya yang bergerak selaku pemudahcara dengan menyampaikan bantuan terus ke pintu rumah warga Putrajaya.

Biarpun terdahulu telah tular tindakan sumbangan secara pandu lalu yang dianggap melanggap SOP KKM dan mendapat kompaun dari pihak berkuasa, namun ia tidak menghentikan niat ikhlas bagi membantu rakyat.

Begitu juga dengan Tengku Adnan yang terpalit kesalahan mahkamah dan masih menunggu rayuan berkaitan sabitan yang dibuat, tetapi hal tersebut tidak melunturkan keupayaan Ahli Parlimen terbabit dalam melaksanakan kewajipannya membantu rakyat.

Benar, Hari Wilayah Persekutuan 2021 tetap dirai, malah tetap menjadi kebanggaan komunitinya namun dalam kelangsungan kehidupan hari ini, rakyat terkesan dari sudut ekonomi yang secara tidak langsung memberi impak ke atas seluruh kehidupan.

Harapan rakyat pada pemimpinnya, dan di Putrajaya ‘ketua kampung’ menjadi tempat mengadu namun untuk jangka masa panjang… bagaimana keperluan rakyat untuk meneruskan kehidupan mesti diisi sekiranya kerajaan masih tidak bertindak selain hanya dasar yang dikemukakan sedangkan pelaksanaannya masih kabur.

Apapun… komuniti Wilayah Persekutuan tetap ampuh dalam usaha perteguh kekuatan dan simpulan perpaduan kerana sedar ia adalah asas kepada kestabilan negara yang perlu terus dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa.

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2021!