Berita

Pasar Malam, Kedai Gunting Rambut, Pusat Cuci Kereta Dibenar Beroperasi Mulai Esok

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh RELA untuk memantau pergerakan pengunjung.

Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan. – BERNAMA