Santuni Rakyat Dengan Sumbangan Prihatin
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sentiasa berusaha memastikan komuniti Putrajaya mendapat bantuan dalam menghadapi pelbagai tekanan hidup khususnya kepada mereka yang dilanda musibah dan keuzuran.
Lantaran itu, melalui Biro Kebajikan Parlimen Putrajaya yang digerakkan dengan Ketua Wanita UMNO Putrajaya Puan Husna Abdul Rahaman bersama anggota pengurusan Wanita Bahagian menjadi jentera bagi menyantuni mereka di akar umbi.
Selaku Pengerusi Biro terbabit, Puan Husna berkata, Sumbangan Prihatin adalah hasil idea ‘ketua kampung’ dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan.
“Program Sumbangan Prihatin ini telah lama digerakkan dan aktif menyampaikan bantuan serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang berdepan kesulitan sama ada sakit atau ditimpa apa-apa musibah.
“Kami Wanita UMNO Putrajaya akan bergerak turun padang dan menziarahi mereka sama ada di hospital iaitu sebelum pandemik COVID ada atau di rumah dengan bertanyakan khabar atau apa-apa keperluan yang kami boleh salurkan untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa Wanita UMNO Putrajaya juga sentiasa menyemai rasa kebertanggungjawaban terhadap masyarakat termasuklah dalam usaha memutuskan penularan rangkaian COVID-19 ketika ini.
“Selain untuk keselamatan dan kesejahteraan diri serta keluarga, kami juga mengajak warga Putrajaya untuk sama-sama mengutamakan kawalan kendiri serta mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan kerana kami percaya, wabak ini dapat dielakkan dengan rasa kesedaran dan kefahaman dikalangan masyarakat,” katanya lagi.
Sama-samalah kita berdoa agar Allah permudahkan setiap urusan dengan memberi kesembuhan buat mereka yang sakit, serta Putrajaya kembali bebas dari COVID-19. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.