BeritaRencana

Tuduh UMNO… Daim Baik Diam

Biar betul…! Saya tersenyum sendiri membaca kecaman Daim Zainuddin terhadap UMNO. Inilah padahnya, bercakap tak ukur baju di badan, tak lihat muka di cermin maka berkata hanya untuk menampakkan kedangkalan dan betapa ‘tak bijaknya’ pemikiran beliau.

Daim menyebut soal realiti… menganggap Umno sebagai parti yang tidak berhubung dengan realiti politik dan dipimpin oleh orang-orang yang melayani diri sendiri dan khayalan.

Soalnya siapa sebenarnya yang tak berada dalam dunia realiti, masih beranggapan mempunyai kuasa dan dapat menentukan apa-apa tentang negara berdasarkan kehendak peribadi sehinggakan suka-suka meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kemudian mencalonkan diri sendiri juga sebagai PM berikutnya… bukankah itu kroni Daim sendiri?

Barangkali Daim tak tahu apa makna ditolak oleh rakyat sehinggakan begitu mudah bercakap tanpa lihat kepada fakta hari ini. Kalau penolakan nak diukur dengan pilihan raya, bukankah siri Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ya, barangkali Daim lupa bahawa Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kroninya telah tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil kepada BN yang diterajui UMNO. Barisan Nasional berdepan DAP, berjaya mempertahankan Cameron Highlands; Barisan Nasional berdepan calon PPBM, berjaya merampas kerusi DUN Semenyih, Barisan Nasional ditentang PKR, tetap mengekalkan Dato’ Seri Mohamad Hasan sebagai ADUN Rantau malah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini pun UMNO masih ada, bertanding dan menang yang bermakna UMNO tidak ditolak.

UMNO tak lupa… UMNO tetap ingat siapa sebenarnya yang benar-benar mahu meneruskan perjuangan parti dan berkhidmat untuk rakyat atau siapa yang hanya mahu menjadikan UMNO sebagai batu loncatan bagi memuaskan kepentingan sendiri.

Rakyat dah lihat, UMNO juga sudah belajar dari pengalaman… PRU-14 lalu dah cukup untuk dijadikan bukti bahawa mana orang yang setia dan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

Ya, UMNO akui… BN hilang majoriti sokongan dan UMNO juga terpalit malah lebih perit apabila ada yang melompat atau ‘ditarik’ oleh PH dengan pelbagai ugutan, tawaran dan macam-macam lagi.

Mana yang melompat… tak apalah, pergilah kerana UMNO ini parti akar umbi dan teruskan perjuangan bukan kerana kuasa, pangkat dan kedudukan.

Lebih teruk, UMNO disabitkan pula dengan macam-macam tuduhan yang tak masuk akal… ditekan dari segi perundangan… pun tak apalah, akar umbi UMNO ada dan rakyat tidak berhenti menilai.

Macam Daim kata, UMNO sekarang terlibat dalam pertengkaran dengan PPBM kerana menganggap paling kuat dan boleh menang PRU….

Ikut logik akal… siapa sanggup dibuli? Siapa sanggup ditipu berkali-kali? Siapa sanggup dijadikan bahan mainan politik dan dipergunakan untuk kepentingan sendiri?

UMNO tak cari gaduh… UMNO tak mahu bertengkar dengan sesiapa apatah lagi yang sebangsa dan seagama namun UMNO pertahankan hak dan kepentingannya sendiri malah menteri UMNO yang ada dalam pemerintahan Perkatan Nasional (PN) hari ini pun bukan penumpang sebaliknya adalah layak atas keupayaan sokongan dan dokongan yang telah diberikan.

UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan PN maka UMNO juga berhak bersuara apatah lagi hal-hal yang disuarakan adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat.

UMNO bukan gila kuasa, bukan haloba mahukan pangkat dan jawatan sebagaimana sokongan dibuat mengangkat PM yang bukan dari UMNO tapi UMNO sedar bahawa nasib rakyat hanya akan dapat dibela dengan adanya kuasa.

Barangkali Daim sengaja butakan mata, pekakkan telinga daripada melihat dan mendengar hal berkaitan rakyat, tapi perkara seperti ini tidak berlaku pada UMNO.

Khidmat UMNO setiap masa, tanpa kuasa, tanpa jawatan malah sebelum ini ketika menjadi pembangkang pun UMNO tetap berusaha membantu rakyat, UMNO tak adakan reformasi, tak buat himpunan haram, tak rosakkan harta benda awam sebaliknya UMNO kekal teguh percaya pada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Pada Daim… jika tidak mahu mengakui kesilapan sendiri pun janganlah cuba palitkan UMNO dan tuding jari kepada pihak lain. Cukup-cukuplah bersalutkan nista kebencian dengan melindungi kebatilan, jika tidak pun Daim baik diam!

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari Agung UMNO