UMNO & Akaun Rahsia… Apa Sebenarnya…
UMNO telah menafikan dakwaan kononnya terdapat akaun rahsia yang telah dibuka sejak tahun 1988. Ini kerana UMNO sememangnya sebuah pertubuhan siasah dan parti politik yang menerima sumbangan sejak sebelum merdeka lagi dan kesinambungan perjuangannya jelas sehingga ke hari ini iaitu bagi membela agama, bangsa dan Negara.
Tahun lalu UMNO telah memperoleh kembali wang yang telah dilepaskan oleh Mahkamah. Alhamdulillah. Ia memberi makna yang sangat besar dan wang ini digunakan untuk segala operasi pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional termasuklah bagi persediaan pilihan raya kecil, pilihan raya negeri, program-program bantuan ke seluruh negara dan bantuan kepada Bahagian-bahagian serta sayap-sayap UMNO sejak tahun lalu.
Sebenarnya, atas pengetahuan saya, soal akaun rahsia hanyalah satu persepsi negatif untuk dijadikan isu bagi memburukkan imej UMNO dengan memperlihatkan ianya sebagai konotasi tidak baik.
Perlu kita ketahui bahawa kes pembekuan akaun UMNO ini masih dalam rayuan di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Walhal akaun UMNO sentiasa diaudit oleh juruaudit bertauliah setiap tahun dan di hantar kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS). Sebagai pertubuhan yang berdaftar, UMNO sentiasa patuh dan menjunjung tinggi setiap perundangan dan peraturan yang ditetapkan serta mengutamakan ketelusan dan integriti atas nama parti yang berkhidmat kepada rakyat.
Berkaitan tuntutan UMNO melibatkan wang yang sedang berlangsung sekarang pula, biarlah pihak mahkamah memutuskannya kelak.
Beringatlah dan belajarlah dari pengalaman lalu sebagaimana UMNO/BN hilang kuasa pada PRU lalu kerana manipulasi isu dan fitnah pihak tertentu, maka hari ini diakui bahawa spekulasi dan propaganda murahan dibuat atas tujuan tidak lain ingin memberi persepsi negatif juga. Ini kerana barangkali tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah sebelum ini setelah akaun UMNO dinyahbeku tahun lalu.
Sungguh, apapun cabaran dan rintangan UMNO tetap tidak akan hilang fokus terhadap memperjuangkan kemaslahatan rakyat khususnya ketika negara dan dunia sedang dilanda dengan pandemik COVID-19 dan masalah ekonomi merudum. UMNO juga meminta semua pihak agar menghentikan fitnah dan propaganda yang ingin merosakan imej UMNO sebalinya sama-sama berusaha memulihkan kesejahteraan Malaysia tercinta. Buat UMNO, keutamaan adalah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dari ‘dulu, kini dan selamanya’ kerana dengan asas dan tujuan perjuangan yang sentiasa relevan demi agama, bangsa dan tanah air, dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat. InsyaAllah… UMNO terus bangkit!
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG UMNO