BeritaRencana

UMNO… UMNO… UMNO… Masih Sayangkan UMNO!

Tak tahu nak kata apa… Membaca berita-berita semasa termasuklah dalam media sosial sejak kebelakangan ini seakan ada tersembunyi senda tawa. Ada rasa kelakarnya apabila ada individu yang dulu melompat meninggalkan UMNO sewaktu UMNO hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara ‘manis’.

Ada pihak yang tak henti-henti menyentuh tentang UMNO hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan UMNO sedangkan mereka ini bukan ahli UMNO pun…. UMNO mesyuarat tapi mereka yang panas?

Ada juga yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan PH dengan zaman BN… Ya, barangkali rindu zaman BN.

Tak apalah, kan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang telah menaikkan nama dan jadi batu loncatan mereka untuk mendapat kuasa. Mereka ini bersama UMNO dan mengaku orang UMNO sewaktu parti berada dalam kejayaan, kecemerlangan dan gemilang bukan saja dalam negara malah dipersada antarabangsa, tapi meninggalkan UMNO malah ada yang menjadi sekutu menjatuhkan kerajaan BN lantaran rasa tak puas hati terhadap UMNO.

Ternyata, sepanjang tempoh UMNO bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian kerajaan, terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh dijadikan tauladan.

Siapa sebenarnya pejuang sebenar untuk agama, bangsa dan negara… siapa pula petualang yang menjadi bahana hinggakan rakyat duka lara… tapi masih nama UMNO juga dipalitkan.

Sungguh, UMNO terbukti parti keramat. UMNO menaikkan nama seseorang individu dari orang biasa menjadi pemimpin ternama hinggakan ada yang menjadi negarawan, tapi kerana ketidakpuasan rasa, UMNO juga djadikan alat kebencian dan cuba dipersalahkan atas pelbagai kesalahan peribadinya.

Namun yang peliknya sejak beberapa hari ini kedengaran suara mereka berkata masih sayangkan UMNO, mulalah mengakui UMNO banyak berjasa, UMNO itu… UMNO ini… dan masih nama UMNO juga dijaja dalam pentas politik mereka biarpun mereka bukan lagi ahli UMNO. Apa rasa… tentulah seakan sebuah sandiwara semasa.

Nak kembali sertai UMNO… mudah sahaja. Namun sewajarnya masuklah dulu bengkel atau kelas khas bagi memahami asas dan tujuan penubuhan UMNO. Fahami dan hayati setiap nilai perjuangannya kerana tentunya tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat u-turn di atas jalan raya.

Biarpun nyata pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksana. Tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju kembali walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.

Memang, kita perlu kembali berpadu demi agama dan bangsa, kita mesti teguh dan kukuh, kita bersaudara dan tidak perlu bermusuhan, tetapi setiap masa yang berlalu selepas tarikh 9 Mei 2018 bukanlah satu kemanisan dan mesti dinilai dengan kesetiaan dan pengorbanan.

UMNO ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada diantaranya di luar kewarasan akal fikiran. Tuduhan tanpa asas tiba-tiba menjadi realiti. Sakit perit tapi patah sayap tetap bertongkat paruh kerana percaya bahawa asas perjuangan adalah demi Lillahi Taala.

Ketahuilah, UMNO ini parti politik yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu atas kesatuan semangat bangsa demi agama dan tanah air tercinta. Ada air mata keringat yang mengiringi penubuhannya, lahir atas semangat patriotik dan nasionalisme, maka jangan libatkan UMNO atas kebobrokan dan kedangkalan naluri manusia yang haloba. Pangkat dan kuasa tidak akan kemana kerana nusa bangsa lebih utama.

Pada mana-mana individu, janganlah perguna nama UMNO yang menjadi payung bangsa, jangan lagi palitkan nama UMNO yang terbina atas kesatuan bangsa kerana UMNO bukan lahir di tepi jalan raya, atau muncul atas rasa ketamakan kuasa sebaliknya UMNO adalah untuk Agama, bangsa dan tanah air tercinta. Allahuakhbar!

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG UMNO