Berita

Agong Zahir Pandangan Parlimen Boleh Bersidang Semasa Darurat

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Jan 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut. – BERNAMA