Aktiviti & Komuniti

Raikan Hari Wanita Sedunia Bersama ‘Frontlines’ Putrajaya

PUTRAJAYA – Bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, Hari Wanita Sedunia pada tahun ini menyerlahkan sumbangan golongan terbabit dalam pelbagai bidang, meskipun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman bersama anggota jawatankuasanya telah menyantuni wanita barisan hadapan yang melaksanakan tugas demi keselamatan dan kesejahteraan insan lain.

Dalam hal ini, Wanita UMNO Putrajaya telah turun padang dengan mengadakan kunjungan ke Hospital Putrajaya bertemu para doktor dan barisan jururawat membawa kuntuman bunga mawar sebagai simbolik penghargaan sempena Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Tidak ketinggalan, Wanita UMNO Putrajaya turut menzahirkan penghargaan dan meraikan anggota polis dengan memberikan kuntuman mawar sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan yang telah dilakukan.

Semoga dengan inisiatif yang dilaksanakan akan dapat memberi semangat dan menguatkan lagi keazaman wanita untuk terus menerajui kemajuan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. – UMNOPutrajaya