Berita

Jangan Lupa Peristiwa 22 Bulan, Pertahankan UMNO Ikut Acuan Asal – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta ahli-ahli UMNO agar mengaplikasi Perhimpunan Agung UMNO yang menjadi medan untuk akar umbi bersuara, dari cawangan dibawa ke bahagian dan diangkat dalam persidangan UMNO untuk berbicara dan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh akar umbi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian memandangkan hujung minggu ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2020 setelah dua kali tertangguh ekoran COVID-19.

“Alhamdulillah akan diadakan juga. Insya-Allah akan dibuat dalam norma baharu dan patuh pada SOP yang ditetapkan. Bukankah UMNO adalah organisasi politik yang sentiasa patuh pada perundangan, utamakan keluhuran Perlembagaan dan pastikan etika persidangan juga diikuti. Begitu juga dengan ketetapan dari RoS.

“Sekarang ini tak perlulah pertahankan apa-apa kenyataan yang bercanggah dari keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO atas apa juga alasan walaupun bersifat peribadi. Tak elok dan tak mendatangkan kebaikan pun malah hanya mengundang kemudaratan.

“Tunggulah saja nanti Perhimpunan Agung UMNO yang bakal buat keputusan tentang hala tuju parti, kemudian hormatilah suara konsensus untuk pastikan sama-sama mendukung keputusan yang telah dibuat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, jika gagal hormati institusi dan organisasi maka UMNO akan hancur dari dalam kerana sekarang ini seakan ada yang cuba merobek acuan parti untuk perlihatkan kononnya UMNO tiada lagi sokongan.

“Dan untuk yang di luar parti pula… anggota UMNO perlu tahu menilai. Mana yang mesti diambil perhatian dan mana pula yang mesti diabaikan. Memang di luar UMNO itu bukan ahli UMNO tapi taklah bermakna mereka semua menentang hala tuju dan perjuangan UMNO.

“Realitinya UMNO masih diperlukan dan UMNO juga perlukan sokongan dari orang Melayu. Pemikiran terhadap UMNO bukan hanya perlu dilihat wujud dan relevan pada mata orang Melayu tetapi juga mesti kukuh dan kuat untuk menjadi penaung dan pembela semua rakyat.

“Kerana itu kita mesti berpijak di bumi nyata iaitu dengan UMNO sahaja tidak akan memenangkan kita dalam pilihan raya tetapi jika UMNO kukuh dengan bangsa Melayu sendiri bersatu maka sokongan itu akan datang dari pelbagai pihak yang yakin dan percaya dengan kemampuan UMNO.”

Jelas beliau, semua pihak perlu sedar bahawa sikap segelintir dalam parti sendiri telah menyebabkan UMNO ini cuba dirosakkan.

“Hanya kerana rasa tak puas hati maka cuba wujudkan kebencian terhadap UMNO sedangkan jasa UMNO terlalu banyak. UMNO hari ini ini masih lagi mendukung perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Dari kerajaan, menjadi pembangkang dan kemudian jadi sebahagian kerajaan tak melunturkan perjuangan UMNO.

“Sekarang, takkanlah ramai dah lupa episod kerajaan 22 bulan? Waktu itu ada yang mahu UMNO diharamkan, mahu UMNO dibubar, kata UMNO dah mati, kononnya perjuangan UMNO tak relevan dan macam-macam lagi berkaitan UMNO dinafikan. Apa-apa saja berkait dengan UMNO akan ditekan dan dihimpit… pemimpin UMNO yang tak mahu lompat disabit dakwaan mahkamah, akaun UMNO dibeku, ahli-ahli UMNO ditolak dan macam-macam lagi.”

Tegas Tengku Adnan, setahun UMNO jadi sebahagian kerajaan hari ini, maka janganlah segala peristiwa kerajaan 22 bulan dilupakan sebaliknya jadikanlah pengajaran.

“Keperitan rakyat 22 bulan adalah realiti dan bukti sebenar bahawa UMNO amat penting untuk kembali dinobatkan sebagai penaung kepada rakyat… bukan hanya ahli UMNO tapi manfaat untuk semua warga Malaysia sebagaimana yang pernah dilaksana dalam kerajaan BN – Kata Dikota, Janji Dilaksana.

“UMNO bukan parti rasis, elitis atau eksklusif tapi parti ini adalah sebuah perjuangan maka kerana itu, pertahankanlah acuannya demi agama, bangsa dan tanah air kita. Jangan robekkan acuan yang kita ada kerana kemana kita Melayu akan berada jika bumi di pijak ini kelak milik orang?

“Kerana itu, UMNO mesti terus dipelihara, hala tujunya mesti jelas dan perjuangannya mesti dihayati untuk diaplikasi… maka Perhimpunan Agung UMNO 2020 adalah manifestasi kepada arah dan masa hadapan parti. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – UMNO Dulu, Kini, Selamanya,” katanya lagi. – UMNO Online