Agong Seru Umat Islam Kaut Keberkatan Ramadan, Teguhkan Ketakwaan – Istana Negara
KUALA LUMPUR, 12 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk mengaut keberkatan di bulan Ramadan, bagi meneguhkan lagi ketakwaan serta memperbanyakkan amalan soleh.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka bertitah supaya umat Islam mengimarahkan bulan mulia ini dengan pelbagai pengisian bermakna, dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan ukhuwah sesama insan.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa, kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
“Semoga kehadiran bulan yang mulia ini, turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat, serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” menurutnya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.
Ahmad Fadil berkata, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan, Seri Paduka bertitah supaya penganjuran majlis-majlis di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah-perintah yang ditetapkan kerajaan.
Al-Sultan Abdullah turut menasihati umat Islam, khususnya petugas di barisan hadapan, supaya terus tabah menjalani ibadah puasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu, untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
Ahmad Fadil berkata, umat Islam negara ini turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi SOP.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menyeru seluruh umat Islam, untuk mengambil keberkatan Ramadan bagi bersama-sama Baginda berdua, mendoakan semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta wabak COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera,” katanya. – BERNAMA
You must be logged in to post a comment.