Aktiviti & Komuniti

Ramadan, Ahli Parlimen Putrajaya Sedia Makanan Sahur Untuk Petugas Barisan Hadapan

PUTRAJAYA – Parlimen Putrajaya telah membekalkan makanan sahur kepada anggota barisan hadapan yang bertugas di Hospital Putrajaya pada hari pertama Ramadan.
Dalam hal ini Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata agihan makanan sahur kepada petugas-petugas barisan hadapan ini disalurkan secara berperingkat kerana memahami tanggungjawab yang digalas mereka amat besar iaitu demi kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, tentunya sukar untuk petugas mendapatkan makanan ketika sahur memandangkan kekangan kerja dan tugasan yang perlu dilunaskan.

“Saya telah mengaturkan gerak kerja bagi memastikan usaha menyediakan makanan kepada petugas-petugas ketika waktu sahur secara berperingkat.

“Kita sedar dalam tempoh PKPP ini, tentunya banyak kekangan maka kita teruskan usaha menghantar juadah bersahur kepada mereka sebagaimana pada tahun lalu.”

Beliau berharap dengan sumbangan juadah yang diberikan untuk bersahur ini akan dapat membantu dan menceriakan para petugas barisan hadapan.

“Sumbangan ini terlalu kecil berbanding dengan tugas-tugas yang telah dilaksanakan oleh mereka ini bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan komuniti Putrajaya,” katanya lagi. – UMNO Online