Rencana

Kerusi Parlimen Putrajaya Jadi Idaman… Cerminlah Diri…

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula disebut-sebut. Katanya dah dekat, entah esok atau lusa… tapi sekarang darurat jadi paling awal pun selepas tarikh darurat habis iaitu Ogos nanti… eh boleh jadi juga lepas raya… entahlah. Sebenarnya bukan soal tarikh PRU yang nak dibincangkan tapi hal kerusi Parlimen Putrajaya yang ‘panas’ dan jadi rebutan.

Memang, ini bukanlah kali pertama kerusi Parlimen Putrajaya di bawah Barisan Nasional (BN) menjadi sebutan malah setiap kali pilihan raya menjelang akan timbullah macam-macam cerita yang kerusi ini layak untuk si polan la… untuk ini, untuk itu. Macam-macam nama yang orang Putrajaya sendiri tak kenal pun akan muncul.

Dari mula-mula Parlimen Putrajaya diwujudkan pun memang macam-macam nama disesuaikan untuk jadi ahli Parlimen di sini termasuklah nama mantan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil. Sudahnya, ketentuan Ilahi meletakkan Tengku Adnan Tengku Mansor bergelar Yang Berhormat di sini dan kekal sehingga kini.

Persoalan utama yang ada dalam benak, kenapa sekarang ini macam-macam nama muncul nak bertanding untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Putrajaya?

Dalam UMNO sendiri dikhabarkan bahawa ada nama-nama yang ‘mengidam’ nak bertanding di kerusi Putrajaya biarpun bukanlah anak jati Putrajaya atau sekurang-kurangnya dari Lembah Klang.

Angin bertiup bawa nama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dijangka diletakkan di Putrajaya berikutan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengumumkan akan bertanding di Parlimen. Ada juga nama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki disebut bakal bertanding di kawasan ini bagi meletakkannya untuk menang dan mempunyai masa depan politik cerah pada masa hadapan… juga nama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang dikhabarkan bakal hilang tempat sekiranya kolaborasi dalam Muafakat Nasional menjadi realiti.

Nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal juga adalah antara barisan yang kononnya bakal menjadi calon tapi kini Tun Faisal berdepan penggantungan ekoran tindakan beliau yang mengkritik parti secara terbuka.

Ada lagi barisan nama lain termasuk Idham yang entah dari mana munculnya… Si Polan itu… Si dia … dan bla bla bla nama-nama lain.

Ada apa di Putrajaya sehingga diidamkan sedemikian rupa?

Putrajaya yang merupakan tampuk persekutuan sebenarnya bukan hanya mempunyai majoriti pengundi terdiri daripada penjawat awam, dan jika dulu boleh dianggap sebagai kubu kuat UMNO maka sekarang belum tentu apatah lagi dengan perkembangan pembangunan di sekelilingnya dan situasi politik terkini.

Putrajaya tidak pernah mempunyai ahli Parlimen lain selain Tengku Adnan. Ia pertama kali menjadi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2004. Tengku Adnan memenanginya dalam empat pilihan raya umum dan pernah mengalahkan calon dari PKR, PAS dan PPBM.

Keampuhan Tengku Adnan sebagai wakil rakyat bukan kerana nama UMNO/BN semata-mata tapi warga Putrajaya sendiri amat sinonim dengan Tengku Adnan.

Apa yang dah Tengku Adnan lakukan sehinggakan komuniti Putrajaya amat menyayanginya, dari peringkat atasan hinggalah ke akar umbi semuanya amat kenal siapa ‘ketua kampung’ mereka.

Sebenarnya, walaupun memang idea penubuhan Putrajaya itu dari Tun Dr Mahathir namun kesinambungan pembangunan dan keperluan masyarakatnya dipenuhi oleh Tengku Adnan. Bukan hanya dari segi sosial semata-mata tapi menjangkau sehingga kepada kerohanian dan memenuhi aspek sosio-ekonomi masyarakatnya.

Sebenarnya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa setiap warga Putrajaya pasti ada ‘terhutang budi’ kepada Tengku Adnan yang telah 20 tahun menjadi wakil rakyat. Jika tidak secara langsung berdepan dengan beliau, tentunya ada termakan sesuap nasi hasil beras sumbangannya, atau ada terguna kemudahan awam yang diperjuangkan oleh Tengku Adnan sebagai wakil rakyat, misalnya kerusi awam, bas awam, jalan raya, hospital, klinik, surau-surau dan macam-macam lagi yang terlalu panjang untuk disenaraikan.

Maka sebagai orang Timur, bangsa Melayu khususnya, ingat-ingatlah sikit agar jangan terlalu ‘lancang’ atau bersikap ‘kurang ajar’ terhadap orang yang telah lebih dahulu makan garam, sebaliknya hormatlah wakil rakyat yang ada hari ini.

Soal pendakwaan dan sabitan mahkamah yang telah diterima oleh Tengku Adnan, tentunya semua maklum bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih.

Oleh itu tunjuklah ‘respect’ kepada orang yang benar-benar sanggup ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ sedangkan Tengku Adnan sendiri punya pilihan besar untuk tidak diheret ke mahkamah sekiranya ‘melompat’ sebagaimana tindakan beberapa pemimpin UMNO lain. Dah tentu beliau akan jadi menteri…

Ada yang pertikai hal usia… soalnya kenapa tak bersuara waktu ada PM tertua dalam dunia… maka itu bukan satu alasan kerana selagi sihat, mapu berkhidmat dan dapat melaksanakan amanah terbaik untuk rakyat… kekalkanlah! Lapun hidup mati bukan kita yang tahu, ada saja Ahli Parlimen usia muda yang meninggal mengejut… jadi itu bukan alasan!

Kebaikan Tengku Adnan bukan hanya pada warga Putrajaya tetapi beliau menjadi payung kepada UMNO keseluruhan. Janganlah pandang mudah, bukan soal remeh pun tapi apa yang Tengku Adnan lakukan demi agama, bangsa dan negara melangkau realiti kewarasan pemikiran… sakit perit, dihimpit dan ditekan tapi demi rakyat dia tidak pernah berkira soal wang ringgit, masa atau tenaga sekalipun.

Justeru, kepada mana-mana pihak yang bermimpi nak menggantikan Tengku Adnan, silalah ukur baju badan sendiri, cerminlah diri dan lihatlah kemampuan yang ada!

Dari:
Shaufie Razali
Mewakili suara warga Putrajaya