Berita

Makin Lama, Makin Banyak Aset Negara Yang Dibina BN Dijual

KUALA LUMPUR, 21 April – Makin lama, makin banyak aset negara yang dibina oleh Barisan Nasional (BN) kini dijual kerajaan selepasnya, demikian tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mengambil contoh terkini mengenai penjualan saham Telekom Malaysia (TM) Berhad milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

“Dari dulu lagi, Khazanah merupakan pemilik saham terbesar TM. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Khazanah memiliki 984,825,713 saham atau kepentingan 26.21% dalam TM.

“Minggu lepas, jumlah saham TM dimilik Khazanah sudah jatuh ke 758,725,713 saham atau kepentingan 20.1% setelah sekitar 226 juta saham dijual.

“Jika jual sedikit lagi, Khazanah akan diganti oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (18% kepentingan) sebagai pemilik saham terbesar TM. Ini setelah Khazanah jual 172.3 juta saham tahun lepas dengan diskaun 3.61% pada bulan Mei tahun 2020 lepas. Dan penjualan 53.8 juta lagi saham dengan diskaun 3% minggu lepas,” katanya.

Begitu juga dengan pemilikan Khazanah Nasional ke atas syarikat telekomunikasi.

“Sebelum PRU-14, syarikat milik Khazanah Nasional, Axiata memiliki 100% Celcom.

“Dengan penggabungan dengan Digi yang diumum awal bulan April ini semasa darurat, Axiata akan milik 33.1% kepentingan sahaja dalam syarikat yang digabung setelah dibayar RM2 bilion oleh Digi.

“Pada masa Pakatan Harapan (PH) juga, seluruh kepentingan Axiata dalam syarikat telco M1 Singapura juga telah dijual,” bidasnya lagi.

Begitu juga katanya syarikat kimia Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) turut telah dijual pada bulan November 2020 lepas dan seluruh kepentingan syarikat semikonduktor terbesar milik kerajaan, Silterra Berhad juga dijual pada bulan Februari 2021 dengan harga cuma RM273 juta. – UMNO ONLINE