Berita

MKT UMNO Putuskan Pemilihan Tahun Ini, Gesa Kerajaan Adakan Sidang Parlimen

Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada hari ini, 25 April 2021 bersamaan 13 Ramadan 1442H (Ahad) memutuskan perkara-perkara berikut:

1. Mendesak dan mengesyorkan kepada Kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kembali bersidang selaras dengan Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat. Antara rasional utama yang dipertimbangkan termasuklah:

(i) Kerajaan tidak boleh dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.

(ii) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah medan semak dan imbang di kalangan wakil-wakil rakyat agar Kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup rakyat dan harga barang yang meningkat.

(iii) Mesti ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60% daripada KDNK (bertentangan dengan Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen), penggunaan buat kali pertama dalam sejarah Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan.

(iv) Keyakinan dan kepercayaan pelabur terutama dari luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen ini digantung sehingga tiada lagi aspek good governance dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.

(v) SOP khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia.

2. Setelah begitu banyak laporan polis dilakukan, Mesyuarat juga mendesak melalui Menteri-Menteri Kabinet UMNO untuk Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan kandungan buku karangan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

3. Mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP COVID-19.

4. Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO Cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara melibatkan ahli seramai hampir 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar, mengambil kira jumlah jangkitan COVID-19 yang meningkat.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
25 April 2021

Kenyataan Media SUA 25 April 2021