Angka Covid-19 Meningkat: Tengku Adnan Gesa Rakyat Teruskan Kawalan Kendiri, Usaha Putuskan Rantaian Pandemik
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan kebimbangan dengan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat iaitu kes baharu 3,788 di seluruh negara dan Putrajaya menyumbang pertambahan dua orang.
Terdahulu, angka postif Covid -19 di Putrajaya bertambah seramai sembilan orang pada 29 April, 13 orang pada 28 April dan 15 orang pada 27 April.
Melihatkan angka tersebut, Tengku Adnan menggesa semua pihak khususnya komuniti Putrajaya untuk meningkatkan kawalan kendiridengan meneruskan pengaplikasian penjarakan sosial, sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan menggunakan pelitup separuh muka di tempat awam serta bersama-sama berusaha memutuskan penularan rangkaian Covid-19.
Dalam masa yang sama, beliau tidak pernah lupa kepada mereka yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah ekoran penyebaran wabak ini.
Untuk itu, gerak kerja berterusan dilaksana dengan memastikan mereka yang menjalani kuarantin mendapat pembelaan khususnya dalam memastikan bekalan makanan tidak terputus dan tidak tertekan atau merasa dipinggirkan. Dengan itu, Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya meneruskan pemberian sumbangan makanan barangan asas keperluan kepada mereka yang terjejas.
Tegas Tengku Adnan, sebagai wakil rakyat setempat, beliau sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Putrajaya terjamin dalam apa-apa juga keadaan.
Namun demikian, beliau berasa sedih kerana tidak dapat berhubung secara terus kepada masyarakat Putrajaya lantaran kekangan akibat penularan Covid-19.
Sehubungan itu, beliau juga merayu semua penduduk untuk terus meningkatkan doa agar bumi Putrajaya dan Malaysia khususnya kembali bebas dari wabak penyakit serta sebarang musibah.
Dilaporkan, bermula dengan hanya tiga kes positif COVID-19 pada 25 Januari 2020, Malaysia kini merekod kes kumulatif sebanyak 404,925 kes setakat 29 April 2021 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan menghampiri 30 ribu. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.