Aktiviti & Komuniti

Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Dalam Norma Baharu Imarahkan Ramadan

PUTRAJAYA – Penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan darurat yang sedang dikuatkuasakan tidak pernah melunturkan semangat kebersamaan dalam memperkukuh ukhwah dan mengimarahkan Ramadan bagi komuniti Putrajaya.

Sehubungan itu, Biro Penerangan UMNO Bahagian tempatan dengan kerjasama Komuniti Fasa 4C telah mengadakan program gotong-royong mengacau bubur lambuk dan kemudiannya agihan dibuat kepada warga masyarakat setempat.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai alternatif memastikan kebersamaan rakyat terus diperkukuh dalam apa juga keadaan.

“Biarpun pelaksanaan memasak dan mengagihkan bubur lambuk adalah tradisi masyarakat setempat dan diteruskan dalam norma baharu namun pematuhan kepada operasi standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Dalam hal ini, maklumnya, setiap individu cakna terhadap usaha memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan untuk sentiasa diutamakan biarpun amanah tergalas bagi memastikan program gotong-royong mengacau bubur lambuk lancar lantas agihan juga dapat dilaksana pada masa yang ditetapkan.

“Semoga dengan usaha yang dilaksana akan membawa keberkatan serta memperkukuh lagi jalinan silaturrahim dalam keluarga besar masyarakat Putrajaya iaitu antara aspek yang sentiasa diutamakan oleh ‘ketua kampung kita’ iaitu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua UMNO Bahagian di sini,” katanya.

Selari dengan itu, beliau mewakili penduduk Putrajaya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Adnan yang sentiasa memberikan bantuan dan sokongan kepada penduduk apatah lagi dalam hal-hal melibatkan kemaslahatan rakyat. – UMNOPutrajaya