Aktiviti & KomunitiBerita

75 Tahun UMNO, Pastikan Perjuangan Berterusan – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Bersempena menjelangnya ulang tahun UMNO ke-75 pada 11 Mei ini, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru ahli-ahli UMNO untuk terus memastikan perjuangan parti berterusan.

Katanya, dalam usia UMNO 75 UMNO masih terus berjuang untuk memastikan kepentingan agama, bangsa dan negara terjaga dengan tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Selamat hari UMNO ke 75, dah 75 tahun umur UMNO dan UMNO masih lagi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara dan masih juga memastikan hak-hak bangsa Melayu serta umat Islam di negara tidak diganggu gugat.

“Marilah kita terus ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ untuk pastikan parti kita ini terus wujud dan terus berjuang. Selamat Hari UMNO,” katanya dalam ucapan khas bersempena Jubli Intan UMNO kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dengan mendoakan agar semua berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

“Selamat menyambut hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin kalau ada sebarang kesilapan. Marilah kita berdoa agar apa yang melanda dunia ini akan ditamatkan dan kita kembali hidup normal,” katanya lagi. – UMNO Online