Isu Semasa

Episod Serangan Rejim Zionis Ke Atas Palestin Amat Menyedihkan, Sokongan Rakyat Malaysia Tidak Berbelah-bahagi

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Episod serangan rejim Zionis ke atas umat Islam Palestin baru-baru ini amat menyedihkan di mana angka korban dan syahid meningkat, kecederaan penduduk Palestin bertambah dan kerosakan terus berleluasa, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya melihat rentetan kejadian itu, sokongan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak berbelah-bahagi.

“Alhamdulillah. Sekalung pujian buat netizen Malaysia yang dikenali sebagai Tentera Bawang Malaysia. Pelbagai tagline yang diberikan di media sosial antaranya #IsraHellKoyak, #IsrahellTheRealTerrorist dan sebagainya.

“Saya memantau perkembangan media sosial dan menyaksikan pelbagai kritikan diberikan netizen di laman sosial Israel Defence Force. Saya beranggapan ia tindakan terpuji dan baik. Diharapkan memberikan tekanan moral kepada penjajah Israel. Sokongan seperti ini sebagaimana dilakukan sahabat di zaman Rasulullah SAW.

“Rakyat Malaysia amat prihatin. Selain bantuan wang ringgit, sumbangan dana, keperluan asas dan makanan yang disalurkan menerusi NGO (badan bukan kerajaan), sokongan di laman sosial juga hebat. Usaha ini mengambil pendekatan analogi seekor burung yang cuba memadam api membakar Nabi Ibrahim AS,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu catatan di Facebook.

Ulasnya lagi, rakyat di negara ini diakui tidak mampu berjuang di bumi Gaza dan Palestin tetapi usaha yang ditunjukkan sedikit sebanyak dapat membantu saudara seagama di sana.

“Kita akui kita turut berdepan kekangan dan halangan tertentu. Dan kita juga mengharapkan sokongan dan sumbangan seumpama ini akan menjadi asbab untuk menjawab di hadapan Allah SWT suatu hari kelak.

“Saya kagum dengan peranan rakyat Malaysia. Sokongan ini besar usahanya walaupun terdapat segelintir yang mempertikaikan usaha berkenaan. Bagi mereka ia tidak memberikan kesar besar setakat di media sosial. Jangan pandang remeh. Ia juga boleh dianggap perang media dan psikologi yang boleh menjatuhkan semangat rejim Zionis.

“Apa yang dilakukan sebagai tanda sayang ke atas saudara seagama. Sayangi Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, Semenanjung Gaza dan Palestin terutamanya. Tanah itu tempat lahirnya para Nabi dan Anbiya’,” ujarnya lagi.

Namun tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ketika rakyat di negara ini memberikan sokongan sedemikian jangan dilupai akidah umat Islam di sini.

“Tingkatkan amal ibadah kita kepada Allah SWT. Jaga solat dan akhlak. Kita menzahirkan keprihatian terhadap saudara segama tetapi dalam masa yang sama kita perlu meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Tingkatkan bacaan terhadap ilmu fitan, pelajari geopolitik, kuasai bidang sains, teknologi dan perubatan. Kita juga perlu menguatkan sistem pertahanan dan ketenteraan negara.

“Kita berjihad dengan cara memberikan sokongan kepada rakyat Palestin tetapi kita turut bertanggungjawab di atas tanah air sendiri,” jelasnya lagi.

Ahmad Zahid juga berkata nasib umat Islam pada hari dicengkam.

“Kita perlu memperbaiki politik dan ekonomi kita. Saya menyarankan jika sahabat saya memiliki tanah terbiar, usahakan ia bagi menghasilkan tanaman. Untuk persediaan di masa hadapan,” serunya. – UMNO ONLINE