Berita

Lockdown: Hanya 17 Sektor Perkhidmatan Dibenarkan Beroperasi

PUTRAJAYA, 30 Mei – Hanya 17 sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ yang berkuat kuasa bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 17 sektor itu merangkumi makanan dan minuman (termasuk untuk haiwan); penjagaan kesihatan dan perubatan (termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar); air, tenaga; keselamatan (pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusian) serta pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembentungan.

Sektor lain ialah pengangkutan (darat, air atau udara); perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang (termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo, penyimpanan atau pemukalan komoditi); komunikasi (media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat).

“Juga sektor perbankan insurans, takaful dan pasaran modal; kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-Rahnu); e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir; hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan).

“Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di sini hari ini.

Bagi sektor perkilangan pula, Ismail Sabri berkata semua sektor berkenaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh ‘total lockdown’ fasa pertama kecuali 12 perkhidmatan, yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.

Beliau berkata ia termasuk aeroangkasa (komponen dan penyenggaraan (maintenance), membaiki (repair) dan membaik pulih (overhaul); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan; barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci; elektrikal dan elektronik; minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia serta tekstil untuk pengeluaran pakaian perlindungan diri (PPE).

Katanya sektor pertanian, perikanan, perternakan, perladangan dan komoditi serta rantaiannya juga dibenarkan beroperasi, merangkumi kedai yang menjual baja dan racun atau kilang memproses buah sawit serta lori yang mengangkut kelapa sawit, getah, lada dan koko.

“Sektor pembinaan juga dibenarkan beroperasi yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal, pembinaan infrastruktur awam utama serta pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina. Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah secara optimum,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kompleks beli-belah ditutup sepanjang tempoh itu kecuali premis pasar raya, pasar raya besar, kedai serbaneka, kedai farmasi dan kedai runcit yang mempunyai seksyen makanan dan minuman serta keperluan asas sahaja.

Ismail Sabri berkata restoran; gerai dan outlet makanan; dobi (termasuk layan diri); kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan; kedai cermin mata dan barang optik; kedai hardware (barangan logam); bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti; e-dagang (semua kategori produk) serta pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja) turut dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, semua sektor ekonomi yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu itu boleh beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam kecuali pasar harian dari 6 pagi hingga 2 petang, pasar segar terkawal (PST) (7 pagi hingga 12 tengah hari) manakala pasar tani kekal (PTK), MyFarm Outlet (MFO) dan Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dari 6 pagi hingga 4 petang serta pasar borong dari 12.01 tengah malam sehingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.

Waktu operasi stesen minyak pula bermula dari 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya boleh beroperasi sehingga 24 jam, katanya.

“Dengan penutupan sektor ekonomi dan mengehadkan jumlah pekerja yang bergerak daripada 15 juta kepada 1.5 juta sahaja dan dengan semua pihak patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, saya yakin lengkuk jangkitan kes akan dapat dilandaikan.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap pihak swasta juga akan mematuhi arahan kerajaan agar kita sama-sama menang dalam peperangan melawan COVID-19,” katanya. – BERNAMA