UMNO Tolak Darurat, Cadangan MAGERAN Untuk Kepentingan Pihak Tertentu
KUALA LUMPUR, 11 Jun – UMNO mengambil pendirian agar Darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang, ditamatkan selepas 1 Ogos, dan Parlimen dapat diteruskan seperti biasa.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah disampaikan beliau sendiri sewaktu diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah di Istana Negara, pagi ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tanpa Proklamasi Darurat pun Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menguruskan soal berkaitan COVID-19, serta isu-isu lain yang berkaitan.
“Tentang pendirian UMNO, kami telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar pada negara, dan ternyata tanpa darurat pun dahulu Kerajaan masih boleh uruskan isu berkaitan pandemik COVID-19.
“UMNO juga membawa suara rakyat yang rata-rata resah gelisah dalam meghadapi pandemik COVID-19, sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan ekonomi mereka,” katanya kepada media di luar perkarangan Istana Negara.
Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba di Pintu Dua, Istana Negara kira-kira 9.55 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira 11 pagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO berpendapat Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan, dan wujud elemen akauntabiliti dan serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara.
“UMNO berpendapat Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan dengan kepentingan mereka seperti tuntutan moratorium, kenaikan harga barang yang mendadak, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan untuk semua yang tidak terhad kepada B40 sahaja tetapi membangkitkan, dan libatkan kumpulan M40, malah dikalangan T20 juga turut terjejas.
“Maka kita rasakan bahawa aspek ekonomi sama ada foreign direct investment (FDI) yang telah dilokasikan di negara-negara jiran..tetapi yang lebih penting lagi domestic direct investment (DDI) yang harus digalakkan dengan pelbagai insentif dari pihak kerajaan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau turut membangkitkan mengenai cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan dengan Agong.
Tegasnya lagi, penubuhan MAGERAN adalah sesuatu yang di luar keadaan norma, dan sepatutnya Darurat sudah mencakupi langkah yang perlu dilakukan melalui Majlis itu.
“Saya rasakan bahawa perkara itu adalah salah satu daripada keadaan norma yg di luar daripada apa yang sedia ada… kerana Darurat patutnya mencakupi soal-soal itu. Tapi ianya telah (cuba) digunakan untuk mencapai tujuan lain,” katanya lagi. – bnnewsonline
You must be logged in to post a comment.