Berita

Pemilihan UMNO Semua Peringkat Tangguh 18 Bulan

1. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah bersetuju agar pemilihan jawatan di semua peringkat Cawangan, Bahagian dan MKT ditangguhkan selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

2. Keputusan ini adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan”.

3. Pada 30 Jun 2021 ini genap 3 tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula. Namun, Mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

4. Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menulis kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Surat-surat jawapan telah diperolehi daripada KP KKM bertarikh 10/5/21, KP ROS bertarikh 2/6/21 dan MKN bertarikh 11/6/21.

5. Intipati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara online/maya. Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal.

6. Sayugia diingatkan bahawa terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu:
Cawangan : 21,135 mesyuarat
Wanita cawangan : 21,058 mesyuarat
Pemuda cawangan : 15,496 mesyuarat
Puteri cawangan : 8,598 mesyuarat
Jumlah besar : 66,287 mesyuarat.

7. Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap 4 peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh 2 hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian 4 peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan PKP atau PKPB atau PKPD.

8. UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara online di semua peringkat. Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah yang benar.

9. Walaupun demikian, mesyuarat Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 korum (25 peratus kehadiran) masih perlu dibuat termasuk secara online/maya. Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat 1/4 kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi.

10. Cadangan oleh Mesyuarat Pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MKT, untuk tarikh Mesyuarat Cawangan 4 peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos – 30 September 2021. Mesyuarat ini boleh diadakan dengan kehadiran hanya 1/4 (25 peratus) daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan Cawangan itu mempunyai liputan internet. Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh SOP. Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada ROS.

Terima kasih.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
Setiausaha Agung UMNO
29 Jun 2021