Berita

Persidangan UMNO Cawangan Empat Peringkat 15 Ogos – 30 Sept, Secara Maya/Bersemuka Bergantung SOP

KENYATAAN MEDIA

Saya dimandatkan untuk memberi butiran tambahan mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) secara maya pada 7hb Julai 2021.

Mesyuarat MKT mengesahkan keputusan agar Persidangan Cawangan 4 peringkat Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan Cawangan (sebanyak 66,287 mesyuarat) di seluruh 191 Bahagian akan diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021. Persidangan Cawangan tanpa pemilihan jawatan itu boleh dihadiri hanya 1/4 kehadiran (25% jumlah ahli), iaitu cukup korum, dibuat secara maya atau secara bersemuka jika SOP membenarkan.

Tarikh-tarikh untuk Mesyuarat Perwakilan Bahagian 4 peringkat Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO tanpa pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 daripada jumlah ahli akan dimaklumkan kemudian.

Disamping itu, Majlis Kerja Tertinggi juga telah mengambil keputusan bahawa ketika sidang Parlimen nanti, Ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian. Namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka.

Presiden UMNO turut merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
8 Julai 2021