Kerajaan Gagal… Sedarlah Dari Tidur Lena
Kerajaan gagal bukan bermakna kerajaan ni tak guna. Atau kita nak naikkan DAP semula. Otak tu keluarlah sikit dari politik kepartian kepada politik bernegara.
Kerajaan gagal ni teguran keras supaya kerajaan sedar dari tidur lena. Tegur lembut-lembut dulu buat tak tahu saja.
Rakyat tegur supaya penerbangan India ditutup apabila mutasi wabak baru bermula. Tak dengar. Hujung April baru disekat. Sedangkan wabak dah mula melarat
Rakyat tegur buat PKP seperti tahun lepas. Rakyat berikrar berkorban supaya negara sembuh semula. Tapi kerajaan buat lockdown dan benarkan pula beribu kilang taikun beroperasi sama. Berbulan rakyat berkurung duit tak ada.
Bantuan pun lambat dan berkira. Kemudian awak semua tergamak menyuruh rakyat bersabar sahaja?
Rakyat berkorban bertahun tak jumpa ibu bapa. Ada yang jumpa pun di nisan kubur saja akhirnya. Tapi menteri boleh keluar bagi makan haiwan kat zoo, bercuti di Turki dan ziarah makan-makan dengan bekas pemimpin negara. Rakyat nak bersabar bagaimana?
Diberi kuasa darurat, apa yang dah diguna untuk kawal wabak? Berapa banyak hospital medan dah dibuka? Berapa banyak petugas kesihatan swasta dah diambil berkhidmat untuk negara? Berapa kemudahan swasta dah diambil alih untuk kuarantin dan rawat rakyat jelata?
Ada. Tapi itu pun April baru bincang hospital swasta mana yang sanggup bagi kerjasama. Sedangkan hari ini mayat-mayat dah terdampar di atas lantai, pesakit kritikal tiada katil, bekalan oksigen terpaksa dikongsi dan ribuan orang yang sakit terpaksa beratur beratus meter di kawasan perumahan hanya untuk tahu mereka perlu dikuarantin dimana.
Rakyat tegur kerana negara ini rakyat sayang. Kalau kerajaan mampu terima teguran maka rakyat akan bagi semula kepercayaan.
Lihat MOSTI. Rakyat kritik bila bekalan vaksin perlahan. Rakyat tegur agar proses vaksin ini perlu swasta dilibatkan. Mereka dengar.
Hari ini lebih 400 ribu dos vaksin diberikan dalam masa sehari. Ada kita dengar lagi orang kritik MOSTI?
Tapi sebanyak mana pun vaksin diberi, kalau ICU dah kritikal, hospital dah padat, peralatan dah terencat maka negara ini tetap akan tenat.
Kualiti pemimpin paling utama adalah mendengar. Dengar. Biar pedih dan mengarut macammana sekalipun, dengar.
Kerana pemimpin yang berhenti mendengar, hanya akan mampu membilang hari-hari akhirnya sahaja.
—
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu
You must be logged in to post a comment.