Aktiviti & Komuniti

Tengku Adnan Sumbang Topeng Muka Untuk Petugas PPV, Pastikan Keselamatan Diutamakan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan sumbangan topeng muka kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Seroja, Putrajaya.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Putrajaya merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian tempatan, Puan Husna Abdul Rahaman kepada ketua PPV di sini, Dr Ridzuan Mohd Arif.

Sememangnya Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya sentiasa prihatin terhadap keperluan para petugas dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Sumbangan ini juga diharap akan dapat meningkatkan lagi semangat semua ‘frontliners’ untuk teruskan melindungi rakyat, malah Tengku Adnan sebagai wakil rakyat, akan terus menyokong usaha demi kepentingan komuniti.

Selain daripada mengambil langkah menjaga kebersihan diri, penggunaan topeng muka juga diwajibkan sebagai usaha bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit yang sedang berlaku pada ketika ini.

Pengunaan topeng muka merupakan satu langkah yang paling mudah untuk dilakukan oleh semua pihak malah sumbangan yang diberikan oleh Tengku Adnan ini adalah antara sokongan beliau kepada usaha ‘frontliners’ dan para petugas di PPV bagi melindungi diri daripada terdedah dengan sebarang jenis jangkitan ataupun bagi melindungi orang lain daripada jangkitan yang mungkin ada di sekeliling.

Dilaporkan, angka kes baharu COVID-19 semalam mencatatkan sebanyak 11,618 kes, iaitu rekod harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan Putrajaya mencatatkan 40 jangkitan baharu. – UMNOPutrajaya