Imarahkan Aidiladha Penuh Keinsafan… Sabar, Redha Depani Dugaan – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru umat Islam khususnya komuniti Putrajaya untuk mengimarahkan Aidiladha dengan penuh keinsafan apatah lagi perayaan ini disambut dalam suasana perlunya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, apa yang paling penting dalam meraikan Aidiladha ini ialah menghayati pengertian besar di sebalik pengorbanan dengan menginsafi suasana terkini yang sangat mencabar.
“Dalam apa juga keadaan kita perlu terus menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan tanamkan rasa tabah, sabar dan redha atas segala apa yang berlaku di sekeliling kita.
“Ibadah korban tahun ini bukan sebagaimana kebiasaan dilaksana namun kita masih perlu melaksanakannya dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya.
Namun begitu ujarnya, kedatangan Aidiladha ini perlulah terus diaplikasi sebagai ruang bagi memupuk silaturrahim dan kebersamaan dalam masyarakat keluarga besar Putrajaya.
“Jadikanlah kelainan Aidiladha ini bagi mendidik jiwa kita untuk terus sabar dan redha menerima dugaan dari Ilahi tanpa kita jemu memanjatkan doa kepada-Nya agar pandemik COVID-19 ini berakhir dan kita kembali dalam kehidupan normal kelak, insyaAllah.”
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada warga Putrajaya yang sentiasa memberi sokongan dan teguh dalam perjuangan bersama-sama beliau demi memastikan kelestarian agama, bangsa dan negara kukuh. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.