Berita

‘Ketua Kampung’ Teruskan Fokus Khidmat Bantu Rakyat, Komuniti Putrajaya Dibela

PUTRAJAYA – Negara berdepan ‘Gelombang Ketiga’ Pandemik COVID-19 dengan rekod kes harian baharu melepasi 20 ribu untuk dua hari berturut-turut, sementara kes kumulatif kematian mencatat lima angka.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua pihak untuk fokus kepada khidmat membantu rakyat yang tentunya sekarang amat terkesan.

“Kita fokus kepada rakyat… COVID-19 masih menular dan rakyat makin tertekan. Ramai yang terkesan, ada yang terpaksa dikuarantin di rumah, di rawat di hospital… dan macam-macam lagi. Kita mesti bersatu dan bersama-sama untuk menang dalam perang melawan COVID-19. Kekalkanlah patuh SOP dan duduk di rumah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya atau lebih dikenali dengan panggilan ‘ketua kampung’ sentiasa prihatin dengan komuniti Putrajaya malah terus mengaktifkan gerak kerja menyalurkan bantuan prihatin berupa barangan asas kepada penduduk.

“InsyaAllah, saya melalui Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya akan usaha salurkan bantuan prihatin bekalan makanan asas sampai kepada mereka yang terkesan khususnya yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah.

“Moga bantuan yang diberi akan dapat meringankan beban. Terima kasih juga pada sukarelawan yang banyak membantu melaksanakan agihan sumbangan ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital semakin meningkat selaras dengan peningkatan kes di Putrajaya malah kes harian baharu tiga angka turut melibatkan WP Putrajaya dengan 122 kes. – UMNOPutrajaya