Rencana

Polemik Politik VS Kepentingan Rakyat … Perangilah Musuh Sebenar!

Suhu politik negara kembali panas sebagaimana angka jangkitan COVID-19 yang melangkau 20 ribu. Bukan biasa-biasa kerana jumlah jangkitan yang semakin tinggi menjadi kayu ukur kepada kejayaan atau kegagalan tapi apa-apa sekalipun kebersamaan dalam satu ketumbukan masyarakat bagi berdepan musuh amat penting.

Siapa musuh utama rakyat Malaysia hari ini…? Bukan soal parti mana, pemimpin mana, agenda politik apa sebaliknya bagaimana usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat mesti difikirkan.

Ya, barangkali natijah daripada kerajaan yang rapuh, kesilapan pengundi memilih pemimpin atau apa-apa juga, namun nasi sudah menjadi bubur maka suka atau tidak telanlah apa saja yang terhidang.

Sungguh, hari ini rakyat berdepan kesulitan maka tolak tepilah hal-hal berkaitan politik kepartian apatah lagi yang mengutamakan agenda peribadi. Rakyat mengharapkan kerajaan yang ada – tanpa melihat kepada parti mana pun – untuk menjaga, membela, mengutamakan keselamatan seluruh anggota masyarakat.

Minggu ini menyaksikan bahawa kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 1.2 juta kes dengan rekod kes harian baharu melepasi 20 ribu untuk dua hari berturut-turut, sementara kes kumulatif kematian mencatat lima angka.

Pada tarikh 6 Ogos, Unit Rawatan Rapi (ICU) kini merawat sebanyak 1,096 kes COVID-19 yang memerlukan rawatan di unit berkenaan, dan sebanyak 545 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kesan langsung adalah rakyat yang sangat perlukan pembelaan. Dengan Ordinan Darurat dan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa, rakyat masih terkurung, tidak dapat bekerja malah ramai pula yang sudah kehilangan pekerjaan… kekurangan sumber pendapatan dan ada yang sampai kehilangan punca untuk meneruskan kehidupan hingga menjejaskan akal fikiran.

Atas sebab itulah pentingnya peranan pemimpin tempatan untuk terus bersama-sama bergerak dengan rakyat, bukan hanya sekadar memerintahkan mereka patuhi SOP atau kawalan kendiri tetapi laksanakan tanggungjawab dengan memberikan sokongan, hulurkan bantuan dan salurkan sumbangan. Paling tidak rakyat ada nasi untuk disuap ke mulut kerana setiap perut mesti diisi.

Dalam hal ini, ramai pihak yang menganggap warga Putrajaya sangat beruntung kerana tidak tersalah pilih pada Pilihan Raya Umum lalu dan kekal memiliki wakil rakyat yang prihatin iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Benar, beliau adalah pemimpin pusat namun tidak pula bersikap tidak matang atau terjerumus dalam kancah polemik politik semasa.

Tengku Adnan, sebagaimana beliau cekal mendepani pendakwaan di mahkamah dengan tidak gemar membuka mulut maka begitulah juga tindakannya menggalas amanah sebagai Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian terbabit.

Tidak perlulah untuk beliau turun padang saban waktu namun sumbangan barangan keperluan asas yang disalurkan kepada komuniti setempat tidak pernah terhenti malah makin rancak dengan tambahan barangan dipelbagaikan.

Sememangnya masyarakat Putrajaya amat mengenali sisi peribadi Tengku Adnan yang secara umum lebih dianggap ‘garang dan kurang mesra’ sedangkan realitinya diakui warga Putrajaya iaitu hanya penduduk Putrajaya yang kenal bagaimana sikap Tengku Adnan sebenar.

Lebih dari itu, panggilan ayahanda atau ‘ketua kampung’ kepada pemimpin yang ‘banyak makan garam’ ini adalah sesuatu yang tidak asing.

Dari sebelum menularnya COVID-19, sikap dermawan dan mengutamakan rakyat sememangnya amat diketahui oleh masyarakat setempat. Bermula dari subuh, rakyat pastinya akan bersama-sama bersolat jemaah dengan Tengku Adnan di sekitar surau-surau di Putrajaya.

Tengku Adnan menyantuni jemaah dan qariah setempat, di samping meninjau sendiri keperluan untuk keselesaan dalam beribadat. Mana-mana surau yang rosak dibaiki, ditambah kemudahan sama ada karpet, telekung, sejadah, mimbar sehinggalah kepada barang kelengkapan dapur di surau-surau agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk dalam berkenduri secara gotong-royong yang nyata akan dapat mengeratkan silaturrahim dan memperkukuh ukhwah.

Melalui Pusat Khidmat Masyarakat pula digerakkan agenda menyusur akar menyantuni golongan yang kurang bernasib baik, golongan asnaf, orang kelainan upaya dan mana-mana pihak yang perlu mendapat sokongan agar kehidupan mereka sentiasa terbela.

Belum lagi acara-acara kemasyarakatan yang melangkau sempadan usia sehinggakan majlis keraian ulang tahun kelahiran saban bulan dilaksanakan secara beramai-ramai dengan hadiah yang pastinya akan membuat mereka tersentuh dan tersenyum. Ada juga kad ucapan dan acara memotong pulut kuning yang kesemuanya menjadi bukti bahawa Tengku Adnan bersama rakyat bukan hanya ketika susah, waima kesenangan dan kegembiraan juga dikongsi bersama.

Kini, dalam keadaan rakyat terkesan COVID-19, ada yang terlantar di hospital, ada yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah, ada yang kekurangan perbelanjaan malah ada yang sampai gagal melunaskan sewa rumah akibat kehilangan pendapatan… kesemuanya cuba ditangani dan dibantu dengan sebaiknya oleh Tengku Adnan.


Saban hari, melalui jentera dalam UMNO dan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya, gerak kerja menyampaikan sumbangan dan memastikan keperluan barangan asas berupa beras, telur, susu, minyak, gula, tepung, biskut dan beberapa barangan lain sampai ke pintu-pintu rumah mereka yang dikuarantin termasuk yang terjejas akan dibuat.

Bak janji Tengku Adnan, “Insya-Allah saya akan berusaha membantu semua agar kehidupan dapat diteruskan dalam keadaan tenang sejahtera.”

Lantas, kenalilah musuh sebenar dengan tekad memutuskan rangkaian COVID-19, utamakan SOP dan kawalan kendiri, pastikan kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan dengan keteguhan dan kebersamaan satu keluarga besar Putarajaya! – UMNOPutrajaya