Aktiviti & Komuniti

Tahniah… Ahli Parlimen Putrajaya Bakal Tambah Cucu

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang bakal menerima cucu apabila menantu beliau, Oceane Cyril Alagia hamil tujuh bulan.

Hal tersebut dikongsikan oleh Tengku Adnan menerusi laman facebooknya, hari ini selepas meraikan menantunya yang juga isteri kepada Ketua UMNO Cawangan Tasbih, Dr Tengku Muhammad Hafiz dalam acara tradisional mengikut adat Jawa.

Acara yang berlangsung di rumahnya hanya diraikan dalam kalangan anggota keluarga di rumahnya di samping mengaplikasi komunikasi digital bagi mengubungkan sanak-saudara dan rakan-rakannya.

“Alhamdulillah. Cucu saya bakal bertambah lagi. Selepas solat Asar tadi kami sekeluarga meraikan menantu saya, Oceane yang hamil tujuh bulan dalam acara tradisional mengikut adat Jawa.

“Acara keluarga ini diadakan secara digital/maya menggunakan aplikasi zoom dengan semua keluarga dan kawan-kawan saya dalam negara, di Indonesia, Australia, Saudi Arabia dan di England. Ini semua kerana pandemik COVID-19 yang masih menular. Kita masih tak dapat untuk berkumpul beramai-ramai, tapi syukur kerana kita masih dapat guna aplikasi zoom,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengajak semua untuk terus memanjatkan doa kepada Allah SWT agar COVID-19 diangkat dari muka bumi.

“Apapun teruslah kita berdoa kehadrat Allah SWT, semoga kita semua sentiasa di berkati dan dilindungiNYA. Kita mesti bersatu dan bersama-sama untuk menang dalam perang melawan COVID-19.

“Kekalkanlah patuh SOP & duduk di rumah. Semoga COVID-19 diangkat Allah SWT dari muka bumi ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Majlis perkahwinan Dr Tengku Muhammad Hafiz dan Oceane telah diadakan dengan konsep pandu lalu di Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya, Disember lalu. – UMNOPutrajaya