Kecewa Ada Antara Dua Darjat, Tak Sepatutnya Berlaku – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku berkaitan tularnya video melibatkan seorang VIP untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra semalam dengan jemaah yang lain terpaksa menunggu dan beratur di luar.
Ujarnya, beliau merasa terkilan dan kesal dengan insiden terbabit.
“Selaku Ahli Parlimen Putrajaya, saya amat terkilan dengan apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada jemaah yang terlibat. Saya juga amat kesal dan terkilan berkaitan insiden terbabit yang seakan wujudnya perbezaan antara dua darjat sedangkan dalam Islam, kita semua adalah sama tanpa melihat kepada pangkat atau kedudukan.
“Sepanjang pengetahuan saya, permasalahan seperti ini tidak pernah berlaku walaupun dalam surau-surau Jumaat yang ada di Parlimen Putrajaya. Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang amat tidak wajar apatah lagi apabila melibatkan orang ramai dan juga pemimpin yang sepatutnya lebih mendahulukan rakyat,” katanya.
Lebih dari itu, ujar beliau, Masjid Putra juga mempunyai ruang yang besar dan tentunya kapasiti jemaah yang boleh masuk juga adalah ramai, malah saya yakin sekiranya ada budi bicara tentunya para jemaah juga maklum akan pematuhan dan amat tahu tentang penjarakan sosial, malah mereka juga pasti akan mencari ruang/sudut yang sesuai untuk bersolat dalam keadaan patuh kepada peraturan.
“Saya faham bahawa mana-mana penjaga masjid perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan ekoran SOP yang mesti dilaksana bagi mengekang penularan wabak COVID-19, namun insiden semalam amat memalukan malah mencemarkan kesucian Islam. Hal ini di luar dari adab dan akhlak Islam itu sendiri.”
Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak berwajib termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melonggarkan hal berkaitan solat berjemaah di masjid-masjid dan acara keagamaan dalam qariah berkaitan.
“Penggunaan masjid secara maksimum dengan terus mematuhi SOP yang ada juga akan dapat memanfaatkan usaha untuk sama-sama memanjatkan doa bagi mengelakkan sebarang musibah termasuklah mengangkat wabak COVID-19 dari muka bumi.
“Kelonggaran untuk membuka ruang ibadah ini sesuailah dengan kedudukan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ini juga akan memberi manfaat yang amat besar kepada kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat Islam keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.