Rencana

Rakyat Keutamaan… Khidmat Bakti Tengku Adnan Dilaksana Berterusan

Menyusuri perjalanan lebih setahun lalu sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, sesungguhnya ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila rakyat Malaysia perlu menjalani kehidupan di luar norma kebiasaan.

Saban hari angka jangkitan COVID tetap berlaku termasuklah di Putrajaya. Rakyat terkesan lantaran keadaan yang berlaku tidak pernah terjangka sehinggakan ada yang kehilangan punca pendapatan, kehidupan terhimpit dan tertekan.

Dalam keadaan ini pemimpin tempatan memainkan peranan sangat penting sebagaimana wakil rakyat Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang enggan membiarkan masyarakat berada dalam kegelisahan.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai ‘ketua kampung’ menzahirkan janji-janjinya yang dilafaz sewaktu Barisan Nasional/UMNO masih berkuasa dan berkerajaan. Ketika itu, Tengku Adnan memaklumkan bahawa warga Putrajaya adalah keluarga besar beliau yang setiap perkara melibatkan rakyat akan dikongsi bersama.

Dalam keadaan hari ini yang mana ekonomi negara merudum dan rakyat berada dalam keadaan sulit, Tengku Adnan tetap juga bersama rakyat dengan penyaluran bantuan dilaksana. Begitu juga dalam keadaan beliau diheret ke mahkamah atas tuduhan ‘tak masuk akal’, Tengku Adnan tetap juga meneruskan bantuan untuk rakyat.

Sememangnya, telah menjadi kelaziman kepada Tengku Adnan yang melaksanakan gerakan serampang dua mata dengan turun padang sambil menyelami permasalahan rakyat, menghayati kesusahan akar umbi, meninjau dan menyalurkan bantuan.

Biarpun secara realitinya Tengku Adnan tidak berdepan sendiri menyampaikan bantuan kepada rakyat namun pelaksanaan dan sumbangan yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya tidak pernah sunyi.

Lebih dari itu anggota jentera digerakkan yang melibatkan golongan muda khususnya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya di samping ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Cawangan.

Bantuan ‘ketua kampung’ diberikan kepada mereka yang terjejas khususnya yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah akibat jangkitan COVID-19 selain ada yang terpaksa mendapat rawatan di hospital. Mereka yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal dan ibu tinggal, orang kelainan upaya dan mereka yang hidup melarat menjadi tumpuan bantuan disalurkan melibatkan pelbagai bentuk khususnya sokongan moral selain sumbangan barangan makanan asas khususnya beras.

‘Ketua Kampung’ Putrajaya tidak beretorik jauh sekali untuk berpolemik atau menambah konflik rakyat kerana sedar bahawa ianya hanya akan menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.

Dalam masa yang sama, Tengku Adnan sentiasa mengingatkan rakyat untuk tingkatkan tahap kesabaran, terus istiqamah menghadapi ujian berganda sekarang dan terus mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sesungguhnya, masa yang berlalu telah menjadi bukti bahawa perjuangan Tengku Adnan yang berdiri teguh atas nama UMNO/BN bukanlah sekadar kepentingan politik sebaliknya ia menjadi platform dalam menyampaikan khidmat bakti kepada rakyat sebagaimana yang seringkali diungkapkan dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat. – UMNOPutrajaya